Tutup pendingin hawa, guna kipas mampu halang COVID-19 merebak?

Aida Aziz
Februari 15, 2020 13:50 MYT
Kajian yang dilakukan oleh Ketua Pakar Sains Kesihatan dari Singapura baru-baru ini menunjukkan virus lebih mudah merebak dalam cuaca sejuk dan kering. - Gambar hiasan
Wabak koronavirus baharu (COVID-19) dipercayai tidak mampu bertahan lama sekiranya berada dalam suhu melebihi 30 darjah Celsius.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kajian yang dilakukan oleh Ketua Pakar Sains Kesihatan dari Singapura baru-baru ini menunjukkan virus lebih mudah merebak dalam cuaca sejuk dan kering.
Bagaimanapun katanya, langkah untuk menutup penghawa dingin dan menggunakan kipas angin untuk mengurangkan risiko jangkitan seperti yang disarankan, hanya akan dipertimbangkan sekiranya wabak itu tidak terkawal.
“Ada beberapa faktor kita tahu virus ini boleh dibunuh melalui suhu yang tinggi yang kedua kita juga tahu influenza dan koronavirus epidemik sebelum ini memang paling teruk semasa musim sejuk dan apabila suhu naik penularan itu akan kurang.
“Kalau kita lihat di Malaysia di bawah cahaya matahari pun kawasan lapang suhunya memang lebih 30 darjah Celcius. Ini cuma langkah yang kita boleh pertimbangkan sekiranya ada penularan yang serius di dalam komuniti belum sampai tahap itu,” katanya ketika ditemui di Sini pada Sabtu.
[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat
Dr Lee berkata demikian sebagai mengulas kajian yang dilakukan oleh Ketua Pakar Sains Kesihatan Kementerian Kesihatan Singapura, Profesor Tan Chorh Chuan.
Dalam laporan media baru-baru ini dia dipetik sebagai berkata, orang ramai perlu menutup pendingin hawa dan membuka tingkap untuk kurangkan risiko jangkitan virus itu.
Dr Lee menambah, saranan itu hanya terpakai jika penularan wabak serius di negara ini dan masih perlu diperhalusi lebih lanjut mengikut kajian sains.
#coronavirus #COVID-19 #Dr Lee Boon Chye #Kementerian Kesihatan #kesihatan #koronavirus #Malaysia #Singapura #Timbalan Menteri Kesihatan
;