Tutup kes! Bukti kes serangan seksual ahli politik ternama tidak cukup - AGC
Astro Awani
Januari 14, 2020 15:34 MYT
Januari 14, 2020 15:34 MYT
Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa seorang ahli politik yang dinamakan dalam satu kes serangan seksual, atas alasan, tidak mempunyai bukti yang mencukupi.
Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek, dalam satu kenyataan hari ini berkata, terdapat percanggahan fakta yang material, yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.
“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam Kertas
“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,” katanya sambil menambah penyiasatan boleh dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baru.
Dalam kenyataan itu, Engku Nor Faizah berkata, atas sebab yang dinyatakan, Jabatan Peguam Negara setuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes itu tidak dilanjutkan.
Namun, jelasnya lagi, jika terdapat sebarang keterangan baharu, penyiasatan akan dibuka semula, selari dengan amalan biasa jabatan berkenaan.
Berdasarkan rekod, kenyataan ini dipercayai ada kaitan dengan akuan bersumpah yang dibuat oleh Muhammed Yusoff Rawther, bekas kakitangan sebuah yayasan yang ada kaitan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammed Yusoff dalam akuan bersumpah itu mendakwa, dia berdepan serangan seksual di sebuah kediaman di Segambut, pada 2 Oktober tahun lepas.
Dia kemudian membuat laporan polis pada 7 Disember bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan.
Muhammed Yusof juga sudah dipanggil polis untuk melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Disember tahun lalu.
#Anwar Ibrahim
#Jabatan Peguam Negara
#kes tutup Anwar Ibrahim
#muhammed yusoff rawther
#Pembantu Peribadi Anwar
#PKR
#Polis Diraja Malaysia
#serangan seksual