'Tutup kedai, tarik lesen jika jual nombor ekor' - MB Kedah
Sinar Harian
Mac 5, 2022 21:03 MYT
Mac 5, 2022 21:03 MYT
GUAR CHEMPEDAK: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran kepada pemilik kedai runcit yang berselindung menjual nombor ekor di premis tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya premis terbabit dikenal pasti terlibat dalam perjudian tersebut dan tidak akan teragak-agak menarik semula lesen perniagaan.
“Saya tahu ada kedai runcit jual nombor ekor sebab ada yang beli di sana, tunggu sat (kejap) tak kena tak apa, kalau kena tangkap makan tak habis.
“Kalau kedai tersebut kena tangkap ada jual nombor ekor, sekali dengan kedai kita arah tutup. Berhentilah sebelum ditangkap kalau tak mahu kedai ditutup,” katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Rakyat Parlimen Jerai di Dewan Serbaguna di sini pada Sabtu.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya mempunyai pendekatan tersendiri bagi memastikan apa yang dikuatkuasakan di negeri ini dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya tahulah cara nak buat macam mana untuk banteras aktiviti perjudian di Kedah. Ini termasuk yang berselindung di sebalik kedai kafe siber tetapi aktiviti sebenarnya adalah premis judi secara dalam talian, ini pun kita sedang teliti,” katanya lagi.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu menjadikan Kedah sebagai negeri bebas judi pada masa depan dan serius membanteras aktiviti tidak bermoral itu.
“Kita akan lawan habis-habisan, kalau tak mahu kedai kena tutup, hentikan segera aktiviti judi.
Artikel asal di Sinar Harian