Tutup jalan untuk mat motor: Perhalusi segenap aspek sebelum dilaksana - Lee Lam Thye
Israr Khalid
Februari 23, 2016 21:20 MYT
Februari 23, 2016 21:20 MYT
Cadangan pelaksanaan program penutupan jalan bagi membolehkan mat motor berlumba secara 'halal' perlu dikaji secara terperinci sebelum dilaksanakan, supaya dapat dilihat implikasinya terhadap pelbagai aspek.
Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berpendapat, antara yang perlu diberi perhatian khusus adalah aspek keselamatan.
"Ia bukan sahaja keselamatan mat motor atau peserta perlumbaan 'halal' itu sendiri seperti pemakaian sut atau pakaian keselamatan, tetapi keselamatan orang ramai yang berada di sekeliling kawasan perlumbaan itu seperti pemasangan penghadang.
"Selain itu keselamatan struktur dan permukaan jalan raya yang terlibat juga perlu diambil kita. Kita sedia tahu bahawa kebanyakan jalan di Kuala Lumpur tidak sesuai untuk dijadikan trek perlumbaan. Jadi aspek keselamatan ini amat penting dan perlu dititikberatkan," katanya kepada Astro AWANI.
Penutupan jalan untuk membenarkan mat motor menjalankan aktiviti mereka ini juga dilihat akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk di ibu kota.
"Setiap hari kita berdepan dengan masalah kesesakan jalan raya. Bayangkan kalau kita tutup jalan untuk mereka merempit, pasti akan membangkitkan rasa tidak puas hati orang ramai dan mereka akan membantah. Jalan-jalan lain di sekitarnya akan jadi sesak teruk," jelasnya.
Kawasan sesuai
Kata Lam Thye, sekiranya kerajaan benar-benar mahu melaksanakannya dalam usaha membanteras gejala lumba haram dan aktiviti tidak bermoral berkaitannya, satu kepakatan perlu dicapai antara kerajaan, penganjur dan kumpulan sasaran dalam memilih kawasan yang sesuai.
"Lumba haram yang kita tahu masih belum ada penyelesaiannya. Setiap minggu di serata negeri pasti ada saja aktiviti lumba haram dan pihak berkuasa terutamanya polis terpaksa bersusah payah menggandakan kerja mereka untuk membuat sekatan jalan raya, berkawal di sekitar kawasan aktiviti lumba haram dan sebagainya.
"Sungguhpun ia memang tugas pihak polis, tapi saya lihat polis tidak perlu membazirkan usaha mereka terhadap perkara ini, ia tidak produktif. Lebih baik mereka tumpukan terhadap kerja lain seperti mengawal kelancaran aliran lalu lintas dan mengawal keselamatan sekitar.
"Saya bukan kata saya tidak setuju. Saya faham mungkin idea ini sebagai alternatif dan salah satu cara untuk sediakan platform untuk mereka tunjukkan bakat dan berhibur.
"Tetapi persoalannya adakah jalan yang dipilih, yang sesuai mengikut atau menghampiri ciri-ciri keselamatan dan spesifikasi yang dibenarkan itu diterima oleh mereka (golongan mat motor)? Mereka perlu berbincang dan sepakat mengenai soal ini," ujarnya.
Justeru jelas Lam Thye, pendapat semua pihak termasuk agensi berkaitan dan orang ramai perlu diambil kira supaya tidak memberi implikasi negatif kepada aspek-aspek lain.
Pendapat itu disuarakan sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang bercadang untuk mewujudkan program seumpama 'KL Bebas Kenderaan' yang membolehkan golongan mat motor menjalankan aktiviti di bawah kawalan pihak berkuasa.
Menurut Tengku Adnan, ia akan dianjurkan dengan pelbagai acara sampingan seperti karnival trak makanan dan sesi ubahsuai enjin motorsikal dalam menyediakan platform aktiviti sihat untuk golongan belia.
#berlumba secara sah
#gejala lumba haram
#Lee Lam Thye
#mat motor
#program khas berlumba
#tutup jalan