Tutup awal stesen minyak bagi kaut untung lebih akan diambil tindakan - KPDNKK
Rahimah Abdullah
Julai 7, 2017 19:10 MYT
Julai 7, 2017 19:10 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang bertindak menutup awal premis apabila kenaikan harga minyak diumumkan bagi mengaut keuntungan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut Hamzah, kementeriannya telah menyiasat aduan yang dibuat pengguna berhubung perkara berkenaan.
"Apabila saya dapat aduan daripada beberapa pengguna, kita telah siasat dan semalam saya telah jumpa dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak dan minggu depan saya akan jumpa syarikat-syarikat minyak.
"Kita akan ambil tindakan kalau ada terbukti kalau bahawa mereka buat itu. Kita akan ambil tindakan kerana ia adalah satu kesalahan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke pameran World Food Festival di Pasaraya Lulu di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kekecewaan pengguna yang mendakwa stesen minyak yang sering dikunjungi ditutup awal pada malam Rabu lalu kerana didakwa mahu mendapat keuntungan lebih sebaik harga petrol RON95 dan RON97 diumumkan naik empat sen dan diesel naik tujuh sen berkuatkuasa Khamis.
Malah, ada yang mendakwa hos pam di sebuah stesen minyak diikat dengan tali rafia dan lampu ditutup.
Bagaimanapun, stesen minyak berkenaan dikatakan beroperasi semula selepas jam 12 tengah malam pada hari tersebut dan pengguna kemudian dikenakan harga petrol dan diesel yang baharu.