Turunkan harga petrol kepada RM1.50 seliter tiada dalam manifesto PH

Bernama
September 12, 2018 12:25 MYT
Jumlah subsidi petrol bagi RON95 dan diesel yang ditanggung kerajaan bagi tempoh Mei hingga Julai lalu adalah sebanyak RM1.667 bilion.
Kerajaan tiada rancangan untuk menurunkan harga petroleum sehingga ke paras RM1.50 seliter, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.
Beliau berkata kerajaan tiada rancangan sedemikian kecuali jika harga minyak mentah dunia turun ke paras itu.
Malahan, katanya manifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum lepas tidak menyenaraikan perkara itu sebagaimana yang didakwa segelintir pihak.
"Saya mencari di mana RM1.50 (disebut) dalam buku Pakatan Harapan, tetapi tidak ada. Tidak tahulah jika ada pihak yang dalam keghairahan berkempen menjanjikan perkara itu," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Ng Chiang Chin mengenai jumlah subsidi minyak yang dibelanjakan dan rancangan kerajaan untuk menurunkan harga minyak ke RM1.50 yang dikatakan dalam manifesto Pakatan Harapan.
Amiruddin berkata jumlah subsidi petrol bagi RON95 dan diesel yang ditanggung kerajaan bagi tempoh Mei hingga Julai lalu adalah sebanyak RM1.667 bilion.
Katanya, pada masa ini kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter walaupun harga sebenar pasaran adalah lebih tinggi daripada harga yang dikekalkan.
Beliau berkata mekanisme terperinci mengenai pelaksanaan sistem subsidi petroleum secara bersasar sedang dikaji dan akan diumumkan setelah ia dimuktamadkan.
Menerusi sistem subsidi bersasar itu, subsidi petrol diberikan pada kadar yang sesuai setiap bulan dan mengikut satu kuota yang ditetapkan kepada golongan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).
"Subsidi ini diberi kepada golongan yang layak untuk kegunaan motosikal 125cc ke bawah dan kereta 1300cc ke bawah," jelasnya.
-- BERNAMA
#Amiruddin Hamzah #Dewan Negara #diesel #harga minyak #kerajaan #Manifesto #minyak #minyak mentah #Pakatan Harapan #petrol #petroleum #pilihan raya umum #subsidi
;