Turunkan harga internet: Gobind akan bincang dengan syarikat telekomunikasi
Astro Awani
Mei 30, 2018 20:25 MYT
Mei 30, 2018 20:25 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengadakan pertemuan dengan syarikat telekomunikasi dalam tempoh dua minggu akan datang bagi membincangkan pengurangan harga internet.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata pihaknya sedang meneliti untuk meningkatkan kadar kelajuan internet dan pada masa sama mengurangkan kos.
Namun jelasnya beberapa aspek perlu dipertimbangkan.
"Kami melihat dua aspek, yang pertama untuk menggandakan kelajuan internet, jadi kita melihat sama ada kita boleh melakukannya secepat mungkin.
"Satu lagi adalah mengurangkan kosnya, ia mungkin mempunyai kesan, tetapi kami mempunyai rancangan tertentu dan kami akan berunding bagaimana harga dapat dikurangkan, " katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
"Kami akan usahakan dan saya sudah mengadakan mesyuarat dengan jabatan-jabatan kementerian, dan saya yakin ia dapat dilaksanakan," katanya lagi.
Sebelum ini, Gobind berkata taraf perkhidmatan jalur lebar di Malaysia sangat berbeza dengan negara lain.
Jelasnya, Malaysia perlu mencontohi sistem-sistem lain dan ini akan menjadi sebahagian daripada pelan 100 hari Gobind sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
#Gobind Singh Deo
#Internet
#internet murah
#Malaysia
#Media
#menteri
#Putrajaya
#syarikat telekomunikasi