Turunkan harga barang seiring penurunan harga minyak - Najib
Bernama
Februari 6, 2015 14:43 MYT
Februari 6, 2015 14:43 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua peniaga tanpa mengira bangsa perlu bersikap adil terhadap pengguna dengan menurunkan harga barang seiring dengan pengurangan kos kesan daripada penurunan harga minyak.
Perdana Menteri berkata pada masa sama, orang ramai juga boleh menggunakan kuasa sebagai pengguna dengan tidak membeli barangan daripada peniaga yang menjual dengan harga tidak berpatutan.
"Kesannya, peniaga seperti ini akan terpaksa menurunkan harga barang sejajar dengan kos," katanya dalam entri terbaharu di blog NajibRazak.com yang turut disertakan dengan siaran audio berdurasi kira-kira dua minit.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK) telah ditugaskan untuk melakukan pemantauan lebih kerap di seluruh negara bagi memastikan peniaga dan pemborong tidak menaikkan harga barang dengan sesuka hati.
Najib turut menegaskan bahawa isu penurunan harga barang tiada kaitan sama sekali dengan bangsa seseorang peniaga.