Turun padang selalu, bukan hanya masa pilihan raya-- Shabery

Bernama
November 3, 2013 00:00 MYT
Aktiviti turun padang bertemu masyarakat mampu mempertingkat komunikasi berkesan antara pemimpin dan masyarakat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata kaedah itu bukan hanya dilakukan menjelang pilihan raya sebaliknya perlu dijadikan amalan berterusan setiap pemimpin bagi merapatkan jurang serta mengenal pasti jenis bantuan yang boleh disumbang.
"Ini satu kaedah yang boleh rapatkan diri dengan masyarakat. Kali ini jadi lebih meriah kerana dekat dengan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
"Kita boleh kenal masalah masyarakat, ada yang kurang bernasib baik, sakit, uzur dan sebagainya," katanya selepas program konvoi bermotosikal Ziarah Kasih di empat kampung dalam DUN Sungai Limau Sabtu.
Program itu disertai kira-kira 100 anak muda tempatan yang meluangkan masa bersama Ahmad Shabery mendekati masyarakat lebih sejam.
Mengulas semangat generasi muda yang dizahir melalui program hari ini, Ahmad Shabery menyifatkan golongan itu sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) dan pewaris kepimpinan.
"Ini sesuatu yang amat menggalakkan, dan saya percaya ia perlu menjadi fenomena berpanjangan kepada generasi muda teguh BN," katanya.
Terdahulu, Ahmad Shabery menghadiri Jamuan Rakyat Pusat Daerah Mengundi Sungai Limau di sini.
Beliau kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk di Warung Bihun Sup di Kampung Setia Jaya, yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
PRK DUN Sungai Limau, yang menyaksikan pertandingan antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abdul Samat, akan diadakan Isnin ini.
#Menteri Komunikasi dan Multimedia #PRK #rakyat #Shabery Cheek #Sungai Limau #Ziarah Kasih