Turun padang kenal pasti miskin tegar - Tengku Zafrul

Umavathi Ramayah
Julai 8, 2021 17:07 MYT
Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif Program Prihatin Kasih akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan turun ke lapangan bagi mengenal pasti isi rumah miskin tegar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerusi Program Prihatin Kasih.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Katanya, program perintis yang bermula di Kuala Lumpur dan Selangor itu akan turut diperluaskan di negeri-negeri lain dalam masa terdekat.
"Sekarang permintaan dari segi online, tetapi kalau tiada dalam data, kita sedang merancang untuk 'turun padang' terutamanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
"Inisiatif ini akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya selepas sesi ramah mesra dengan penerima bantuan Program Prihatin Kasih di sini, pada Khamis.
Menerusi program itu, Tengku Zafrul berkata, 300,000 isi rumah golongan miskin bandar diberikan bantuan barangan dapur secara tanpa tunai melalui MyKad menerusi Program Prihatin Kasih membabitkan peruntukan RM100 juta.
Sementara itu, rata-rata penerima bantuan yang ditemui Astro AWANI menzahirkan ucapan terima kepada kerajaan.
Seorang ibu tunggal, Zarina Abu Safian, 37, berkata, bantuan diperlukan susulan pendapatan hasil jualan kuih-muihnya terjejas sejak pandemik COVID-19 melanda.
"Bila saya dapat panggilan mengatakan saya salah seorang penerima, saya benar-benar bersyukur. Walaupun jumlahnya RM100, namun ia memberi makna yang besar kepada kami sekeluarga," katanya.
Seorang lagi penerima, yang juga seorang bekas guru tuisyen, Subramaniam Kuppusamy, 57, berkata, dia terharu apabila menerima panggilan mengatakan dia salah seorang daripada penerima.
"Bantuan ini bukan sedikit, sebenarnya banyak. Saya bersyukur dan terima kasih kerajaan Malaysia atas bantuan ini," katanya.
Dalam pada itu, bagi Yeo Wan Lan, 68, yang memepunyai seorang anak Sindrom Down memberitahu, bantuan itu sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka ketika berdepan dengan tempoh sukar.
#Kementerian Kewangan #pandemik #Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata #Program PRIHATIN Kasih #Projek Perumahan Rakyat
;