Turkiye sasar jadi rakan dialog ASEAN - Menteri Luar

Bernama
Julai 27, 2024 11:00 MYT
Fidan berkata bahawa Ankara menyasarkan untuk menjadi rakan dialog Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). - Foto X/Hakan Fidan
ANKARA: Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan pada Jumaat berkata bahawa Ankara menyasarkan untuk menjadi rakan dialog Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), lapor Agensi Anadolu.
"Matlamat Turkiye adalah untuk menjadi rakan dialog ASEAN.
"Ini akan membolehkan kami mengadakan dialog dan kerjasama yang lebih inklusif dan berstruktur dengan ASEAN," kata Fidan yang berada di Vientiane, ibu negara Laos, untuk mesyuarat keenam Perkongsian Dialog Sektoral Turkiye-ASEAN, yang berlangsung di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57.
Fidan menegaskan bahawa Ankara telah membangunkan agenda dasar dua hala yang merangkumi dialog politik dan kerjasama serantau yang berfokuskan pembangunan dengan rakan kongsi antarabangsanya.
"ASEAN adalah satu daripada rakan kongsi antarabangsa ini," katanya.
Menegaskan bahawa Turkiye menyedari peranan utama ASEAN di rantau Asia-Pasifik dan Lautan Hindi, menteri Turkiye menyatakan: "Kami mahu menggunakan sepenuhnya potensi sedia ada kami dalam kedua-dua bidang kerjasama tradisional dan baharu. Ini adalah masa yang sesuai untuk mempelbagaikan kerjasama kami dan meluaskan skopnya."
--BERNAMA-ANADOLU
#Hakan Fidan #ASEAN #Menteri Luar #dasar dua hala
;