Turkiye sambut ulang tahun ke-101, perkukuh hubungan erat dengan Malaysia

Bernama
Oktober 29, 2024 06:15 MYT
Mohamed Khaled diberi penerangan oleh Emir Salim (kiri) ketika meninjau ruang pameran pada majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-101 republik Turkiye, pada Selasa. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kedutaan Turkiye di Malaysia menganjurkan majlis resepsi pada Selasa malam bagi meraikan ulang tahun ke-101 republik itu.
Dihadiri kira-kira 600 tetamu terhormat daripada kor diplomatik, pegawai kerajaan dan diaspora Turkiye, sambutan itu menampilkan juadah istimewa dan pameran budaya yang meriah.
Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel dalam ucapannya menekankan peranan global Turkiye dan perkongsian strategiknya dengan Malaysia, serta menyoroti hubungan yang berkekalan dan berkembang antara kedua-dua negara.
"Turkiye merupakan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Rakan Dialog Sektoral ASEAN, menyumbang kepada keamanan dan keselamatan dengan 260 misi diplomatiknya di seluruh dunia.
"Malaysia, dengan belia yang berpendidikan dan infrastruktur yang kukuh, bersedia untuk memainkan peranan penting di Asia," kata Yuksel, sambil menjanjikan sokongan Turkiye kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 2025.
"Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan meningkatkan pengaruhnya di tengah-tengah Asia, dan kami gembira melihat perkembangan ini," katanya sambil menekankan kerjasama pertahanan yang lebih mendalam dan memperluaskan perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Menandakan 60 tahun hubungan, beliau mengimbau bagaimana Turkiye dan Malaysia pertama kali merasmikan hubungan pada 1964 dan mengesahkan semula ikatan mereka dengan panggilan antara Presiden Turkiye Erdogan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun.
Tetamu kehormat pada malam itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
- BERNAMA
#Turkiye-Malaysia #ulang tahun ke-101 Turkiye #Emir Salim Yuksel #Recep Tayyip Erdogan
;