Turki jadikan perasmian World Cities Day pentas solidariti buat Gaza
Dzulfitri Yusop
Oktober 31, 2023 18:00 MYT
Oktober 31, 2023 18:00 MYT
ISTANBUL: Meskipun UN-Habitat mengangkat isu pendanaan dalam pembangunan lestari bagi meraikan World Cities Day, namun Turki menggunakan pentas ini sebagai solidariti untuk Gaza.
Setiap peluang dan ruang digunakan dengan sebaik mungkin dalam upacara perasmian melalui persembahan dan ucapan pemimpin Turki bagi menyatakan gesaan menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Majlis dibuka dengan persembahan piano penuh perasaan oleh artis Büşra Kayıkçı yang mendedikasikan muziknya untuk anak-anak Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Zionis.
Datuk Bandar Uskudar di akhir ucapannya mengingatkan hadirin mengenai penderitaan penduduk Gaza yang terus ditekan dengan sekatan akses kepada bekalan asas seperti air, elektrik, telekomunikasi, dan tenaga.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim Turkiye; Mehmet Ozhaseki pula berasa ‘janggal’ untuk merayakan World Cities Day dan ulang tahun ke 100 penubuhan Republik Turki.
“Dua hari lepas 86 juta rakyat Turki berpesta meraikan ulang tahun republik kami dengan perasaan bercampur-baur kerana kesengsaraan yang dialami oleh penduduk Gaza.
“Hati nurani kemanusiaan tidak akan boleh menerima kekejaman yang dilakukan, kami bersama dengan mereka yang ditindas,” tegas Ozhaseki.
Wanita Pertama Turki, Emine Erdogan menyuarakan solidariti di pentas sama melalui ucapan perasmiannya.
“Di Palestin, bukan sahaja nyawa orang awam yang terkorban, tetapi harapan untuk kemanusiaan juga musnah bersama.
“Saya berharap penindasan ini akan dihentikan segera supaya semua dapat hidup dalam keadaan aman dan damai,“ kata Emine.
Sambutan World Cities Day diadakan di Uskudar, Istanbul dan dirasmikan oleh Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdogan.
Turut berangkat hadir dalam majlis ini ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan 12 wanita pertama lain dari seluruh dunia.