Tuntutan waris Sultan Sulu: Dewan Rakyat disaran syor bentang kertas putih

Hasimi Muhamad
Julai 18, 2022 18:39 MYT
Profesor Madya Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan, pembentangan kertas putih itu sesuai dilakukan agar ia tidak memprejudiskan kes pembelaan di mahkamah - Gambar Facebook UMP
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat disaran mengesyorkan pembentangan satu kertas putih berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah, susulan penolakan usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
Pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan, pembentangan kertas putih itu sesuai dilakukan agar ia tidak memprejudiskan kes pembelaan di mahkamah.
Dalam konteks sekarang, jelas beliau, tuntutan waris Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar.
"Oleh kerana tuntutan Kerabat Kiram sedang dirayu pastinya pasukan Peguam Negara perlu mengkaji banyak sudut dan menimbangkan pelbagai isu agar sebarang pendekatan yang bakal diambil tidak tersalah langkah. Dalam tempoh kritikal ini, strategi amat penting dan tidak wajar terdedah kepada pihak lawan.
"Jadi, untuk tidak memburukkan keadaan, saya percaya peranan Speaker amat penting sekali. Speaker perlu menenangkan Ahli Parlimen dan kita lihat hari ini telah berlaku ketegangan.
"Mungkin Speaker boleh berbincang dengan kerajaan untuk menetapkan satu tarikh pembentangan kertas putih, dan menganggarkan satu tempoh masa yang sesuai untuk pembentangan kertas putih," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam masa sama, Wan Ahmad Fauzi berkata, Ahli-Ahli Parlimen juga wajar memberi kepercayaan kepada pasukan Peguam Negara untuk bersiap-siaga, selain menerima penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
BACA: Tuntutan Sultan Sulu: Dewan Rakyat kecoh lebih setengah jam, Kota Belud diarah keluar
Katanya, sebarang pandangan dalam keadaan yang sedang kritikal sebegini tidak semestinya hanya melalui perbahasan usul tergempar di Dewan Rakyat sahaja.
"Dalam pada yang sama menteri yang bertanggungjawab dengan Parlimen dan Undang-Undang (Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar) sudah membuat penjelasan tentang isu yang kini dalam proses rayuan oleh kerajaan Malaysia.
"(Bagaimanapun) tidak dapat dinafikan Parlimen merupakan forum untuk membahaskan isu penting seperti yang dibangkitkan. Secara khususnya, perkara yang melibatkan kedaulatan negara dalam hubungan antarabangsa perlu mendapat mandat Parlimen," katanya lagi.
Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh selama lebih setengah jam selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati mengenai usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
#Tuntutan waris Sultan Sulu #Tuntutan ke atas Sabah #kertas putih #Dewan Rakyat
;