Tuntutan waris Kesultanan Sulu: Mahkamah Luxembourg tarik balik perintah sekatan
Bernama
Januari 30, 2023 17:08 MYT
Januari 30, 2023 17:08 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah di Luxembourg telah memutuskan untuk menarik balik perintah sekatan (saisie arret) yang dimohon oleh individu yang mendakwa sebagai 'waris' kumpulan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Refomasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam satu kenyataan hari ini, Azalina berkata pada 24 Jan lepas, Mahkamah Daerah Luxembourg telah mengetepikan perintah sekatan yang dipohon kumpulan itu pada 11 Julai tahun lepas (2022).
Beliau berkata perintah sekatan itu dibuat berasaskan kononnya Keputusan Muktamad (Final Award) dan Keputusan Awal (Preliminary Award) yang didakwa dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Dr Gondoza Stampa, masing-masing pada 28 Feb dan 25 Mei tahun lepas serta Perintah Exequatur secara ex parte pada 18 Mei 2022, yang mengiktiraf keputusan di Luxembourg.
Dr Stampa dilaporkan telah memberikan 'award' kepada penuntut sebanyak USD14.92 bilion (RM63.34 bilion).
"Malaysia kini mencabar Perintah Exequatur ex-parte di hadapan Mahkamah Rayuan Luxembourg," kata Azalina.
Malaysia dengan segera memohon Mahkamah Daerah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim untuk melepaskan sekatan itu dan perbicaraan berlangsung pada 5 Dis tahun lepas (2022) di Mahkamah Daerah, katanya.
Azalina berkata Mahkamah Daerah Luxembourg telah menerima cabaran Malaysia berdasarkan fakta bahawa pihak yang menuntut, menurut mahkamah, secara sukarela tidak mendedahkan alamat sebenar mereka.
"Mahkamah mendapati bahawa tindakan penuntut tidak mendedahkan alamat sebenar mereka adalah sesuatu yang penting yang telah menghalang penyampaian dokumen dan penguatkuasaan keputusan yang mungkin dikenakan terhadap penuntut," katanya.
Azalina berkata menurut mahkamah, tindakan penuntut adalah sesuatu "kesusahan yang jelas terlarang" yang menjejas dan merugikan Malaysia.
Azalina menegaskan bahawa kelakuan itu adalah sesuatu perbuatan menipu dan penuntut secara konsisten menggunakan tipu daya dalam membuat tuntutan terhadap Malaysia.
"Tidak menghairankan bahawa kes pihak yang menuntut gagal pada peringkat pertama," katanya.
Azalina juga menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan negara, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan akan terus secara bersungguh-sungguh mengambil semua tindakan yang perlu untuk menamatkan tuntutan palsu penuntut.
-- BERNAMA
#Azalina Othman Said
#tuntutan waris kesultanan sulu
#Mahkamah Daerah Luxembourg
#ketepi perintah sekatan