Tuntutan UTC: Jangan persoalkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia - Hajiji
Bernama
Mac 10, 2024 13:00 MYT
Mac 10, 2024 13:00 MYT
KOTA KINABALU: "Jangan persoalkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia," kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebagai menjawab tuntutan terbaru oleh sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka, United Tausug Citizens (UTC).
Hajiji berkata rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf oleh kerajaan negeri mahupun rakyat.
Beliau berkata kerajaan Sabah mengulangi pendirian tegas kerajaan Persekutuan untuk tidak melayan tuntutan UTC dan Sabah juga mendapat sokongan masyarakat global berhubung perkara itu.
"Kerajaan Negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah yang sama dengan mempersoalkan kedaulatan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.
"Tuntutan oleh UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah, tidak lain hanyalah percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu gugat keamanan negeri dan ia sama dengan mengancam kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji berkata malah tuntutan pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa, katanya.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Malaysia tidak melayan sebarang bentuk tuntutan remeh oleh UTC yang mendakwa sebagai "penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu" ke atas Sabah.
-- BERNAMA