Tuntutan Sulu: Malaysia terus perkukuhkan lagi imuniti kedaulatan
Bernama
Jun 5, 2023 20:25 MYT
Jun 5, 2023 20:25 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mengambil segala langkah aktif bagi mengukuhkan lagi imuniti kedaulatannya dan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam usahanya memastikan timbang tara dihormati di peringkat antarabangsa berhubung tuntutan kumpulan yang mendakwa waris kepada Sultan Sulu.
Sekretariat Khas Tuntutan Sulu, dalam satu kenyataan hari ini berkata ini termasuk mengambil tindakan terhadap mana-mana rakyat Malaysia yang didapati memberikan sokongan material, secara langsung atau tidak langsung, kepada pihak yang menuntut atau kepada mana-mana pihak bersekutu dalam timbang tara terhadap Malaysia.
"Kerajaan Malaysia tidak akan teragak-agak untuk membela mana-mana pegawai awam Malaysia yang melaksanakan tugas mereka dengan betul, termasuk Peguam Negara, dalam hal ini," katanya.
Menurut sekretariat itu, mahkamah Perancis akan memutuskan esok sama ada sama ada sebahagian award yang dituntut oleh kumpulan itu terhadap Malaysia akan dikuatkuasakan.
Pada 3 Jun, kerajaan Malaysia menafikan sepenuhnya dan tanpa had segala dakwaan dalam surat yang dihantar oleh Paul H. Cohen, peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (penuntut Kumpulan Sulu), kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Surat bertarikh 28 Mei it, diterima AGC pada hari berikutnya.
Menurut AGC, surat itu menuntut kerajaan membuat bayaran segera, sebelum 2 Jun 2023, bagi award final yang dikatakan berjumlah US$16.412 bilion (termasuk 10 peratus faedah) bersama-sama US$3,502,394.24 bagi bayaran peguam dan ahli pakar serta US$4,026,592.64 bagi kos timbang tara.
Memandangkan prosiding perundangan masih berjalan, AGC berkata adalah melampau bagi penuntut membuat tuntutan bayaran bagi award final yang dikatakan itu.
AGC berkata kesemua dakwaan Cohen dalam surat itu sama sekali tidak benar dan jelas mengetepikan fakta sebenar tuntutan (oleh penuntut) yang tidak dapat disangkal lagi akan mewujudkan rekod bertulis bagi perkara yang tidak benar, bertujuan untuk digunakan terhadap Malaysia.
-- BERNAMA