Tuntutan Sulu ditolak, Sabah zahir penghargaan kepada Mahkamah Perlembagaan Sepanyol
Mirlen Axtius
Februari 3, 2023 13:49 MYT
Februari 3, 2023 13:49 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menzahirkan penghargaan kepada Mahkamah Perlembagaan Sepanyol yang telah menolak rayuan tuntutan sekumpulan individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah baru-baru ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penolakan rayuan itu membuktikan bahawa tuntutan tersebut tidak berasas.
"Kita cukup senang hati kerana tuntutan yang telah dikemukakan itu telah pun dibatalkan oleh pihak yang berkenaan di Sepanyol dan Perancis.
"Jadi ini menunjukkan bahawa tuntutan itu tidak berasas sama sekali, jadi ini menyenangkan perasaan rakyat Sabah dan juga kerajaan kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Rasmi kepada 21 Pejabat Kawasan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Menara Kinabalu pada Jumaat.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada Kementerian Luar Negeri bagi menyelesaikan isu itu demi kesejahteraan seluruh rakyat Sabah.
"Kita serahkan kepada Kementerian Luar Negeri dan juga pihak menteri yang bertanggungjawab, menteri undang-undang untuk dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik," ujar beliau.
Terdahulu Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan yang difailkan oleh sekumpulan individu yang menggelar diri mereka sebagai Pewaris Kesultanan Sulu.
Penolakan rayuan tersebut terkait dengan pembatalan Dr Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes tuntutan negeri itu.
Sehubungan dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan mengesahkan bahawa rayuan perlembagaan difailkan penuntut itu ditolak dan pembatalan pelantikan Stampa turut disahkan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.