Tuntutan saman Tun M, Anwar serahkan kepada peguam

Bernama
Mei 5, 2023 14:55 MYT
Dr Mahahthir mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar berhubung ucapan perdana menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Pelaksanaan Sebuah Idealisme' pada Mac lalu. - Gambar fail
BANTING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan soal tuntutan saman fitnah yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk diuruskan oleh pihak peguamnya.
"Biar peguam jalankan (tanggungjawabnya)," katanya mengulas ringkas pertanyaan pemberita berhubung tuntutan saman berkenaan.
BACA: Tun Mahathir saman Anwar: Ini 9 tuntutan yang dikemukakan
Dr Mahahthir hari ini mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan perdana menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Pelaksanaan Sebuah Idealisme' pada Mac lalu.
Tuntutan saman berkenaan difailkan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Sebelum itu, Perdana Menteri meluang masa untuk makan tengah hari bersama rakyat setempat di Restoran Selera Tujuh, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor Borhan Aman Shah yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-solihin, Kampung Kanchong Darat dan turut mendengar khutbah, bertajuk 'Adab Bertamu Ketika Berpuasa' bersama jemaah yang disampaikan Imam masjid berkenaan Rumaizi Ahmad.
-- BERNAMA
#Tun M saman Anwar #RM150 juta #kumpul kekayaan peribadi #tindakan Anwar
;