Tuntutan RM100 juta subkontraktor lebuh raya DASH tidak berasas - Prolintas

Astro Awani
Julai 7, 2024 16:02 MYT
Menurut Prolintas, subkontraktor terbabit menggunakan publisiti dan media untuk mendesak dan memaksa 'penyelesaian' sehingga memudaratkan pihak kepentingan lain. - Gambar fail/Prolintas
KUALA LUMPUR: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menegaskan tuntutan lebih 20 subkontraktor yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) bagi mengutip bayaran tertunggak berjumlah RM100 juta yang didakwa terhutang kepada mereka secara kolektif daripada syarikat itu adalah tidak berasas dari segi perundangan.

Ringkasan AI
  • Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menegaskan tuntutan lebih 20 subkontraktor yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) berjumlah RM100 juta adalah tidak berasas dari segi perundangan. Prolintas mematuhi tanggungjawab pembayaran yang telah disahkan dengan Kontraktor Pakej Kerja (WPC) berdasarkan terma kontrak.
  • Subkontraktor menggunakan publisiti dan media untuk mendesak penyelesaian, tetapi Prolintas tidak mempunyai kuasa terhadap pembayaran WPC kepada mereka. WPC yang melanggar kewajiban kontrak telah ditamatkan kontrak mengikut terma.
  • Mahkamah Tinggi Malaya mengesahkan tindakan Prolintas dalam penamatan kontrak. Subkontraktor bersetuju tiada hubungan kontrak dengan pengendali Projek DASH dan menarik semula tuduhan ke atas projek.

Menurut Prolintas, subkontraktor itu menggunakan publisiti dan media untuk mendesak dan memaksa 'penyelesaian' sehingga memudaratkan pihak kepentingan lain.
Katanya, Prolintas memenuhi semua tanggungjawab pembayaran yang telah disahkan dan diperakukan dengan Kontraktor Pakej Kerja (WPC) yang terlibat dalam projek lebuh raya DASH berdasarkan terma-terma yang termaktub dalam kontrak masing-masing.
"Dalam hal ini, Prolintas juga telah mematuhi jadual dan terma pembayaran yang telah dipersetujui bersama WPC. Walau bagaimanapun, Prolintas tidak mempunyai kuasa secara langsung terhadap bila dan berapa jumlah pembayaran WPC kepada subkontraktor mereka," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Prolintas menjelaskan mereka bersimpati dengan kesulitan yang dihadapi subkontraktor berkenaan, namun perkara itu perlu diselesaikan dengan WPC masing-masing.
Menurutnya, susulan pelanggaran kewajiban dalam kontrak mereka secara berterusan, WPC yang disebut dalam laporan itu telah ditamatkan kontrak mengikut terma dalam kontrak.
Malah katanya, Mahkamah Tinggi Malaya juga memutuskan tiada tindakan yang tidak wajar diambil oleh pihak Prolintas dalam penamatan kontrak.
"Mahkamah turut membuat ketetapan notis penamatan kontrak dikeluarkan terhadap WPC yang disebut adalah sah," ujarnya.
Dalam perintah berkenaan, subkontraktor juga bersetuju, seperti di bawah:
  1. Tiada hubungan kontrak antara mereka dengan pengendali Projek DASH.
  • Semua tuduhan dibuat ke atas Projek DASH ditarik semula tanpa syarat.
  • Mereka tidak akan memfailkan sebarang tuntutan lanjut dan/atau melakukan sebarang tindakan lanjut, termasuk saman sivil dan prosiding sampingan berkenaan projek, berkait dengan pengendali Projek DASH dan/atau individu dan pihak yang terlibat dengan projek.
  • #lebuhraya dash #tunggakan #tuntutan mahkamah #PROLINTAS
    ;