Tuntutan palsu: SPRM tahan pembantu tadbir kanan Kelantan

Hilal Azmi
Januari 13, 2019 21:25 MYT
Menurut sumber, wanita yang berusia 39 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Negeri Kelantan pada pukul 1.50 petang selepas hadir memberi keterangan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan telah menahan seorang pembantu tadbir kanan bagi membantu siasatan berhubung kes 90 tuntutan palsu bernilai lebih RM149,000, hari ini.
Menurut sumber, wanita yang berusia 39 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Negeri Kelantan pada pukul 1.50 petang selepas hadir memberi keterangan.
Jelas sumber, siasatan awal mendapati suspek telah membuat 69 tututan palsu bagi rawatan perubatan untuk diri beliau, suami dan ayahnya yang dianggarkan bernilai lebih RM117,000, sedangan rawatan tersebut tidak pernah dilakukan.
Tambah sumber, suspek juga telah membuat 25 lagi tuntutan palsu bagi pembelian ubat dan satu tuntutan palsu bagi pembelian alatan ortopedik yang dianggarkan bernilai lebih RM31,000, sedangan pembelian tersebut tidak pernah dibuat.
Kata sumber lagi, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu esok.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.
#pembantu tadbir kanan #rawatan perubatan #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #tuntutan palsu
;