Tuntutan palsu: SPRM tahan pegawai kanan agensi berkaitan kerajaan

Astro Awani
Ogos 20, 2024 19:56 MYT
Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor. - Foto SPRM
SHAH ALAM : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada Selasa menahan reman seorang pegawai kanan sebuah agensi berkaitan kerajaan.
Lelaki berusia sekitar 40-an itu ditahan kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran mantan palsu yang bernilai kira-kira RM15,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Ogos 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Shah Alam, Selangor, pada pagi Selasa.
Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 hingga 2023.
“Suspek dipercayai mengemukakan sebut harga, nota penghantaran, invois dan resit bayaran tunai dari sebuah syarikat, sedangkan pembekalan dan perolehan tidak pernah dilaksanakan syarikat terbabit," katanya.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi dan menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
#Rasuah #tuntutan palsu #Malaysia #SPRM