Tuntutan palsu selenggara kapal: SPRM tahan tiga penguat kuasa termasuk pegawai kanan

Adie Sufian Zulkefli
Mac 26, 2024 11:48 MYT
Seorang daripada tiga suspek yang didakwa mengemukakan tuntutan palsu menaiki kenderaan SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini untuk permohonan reman.
ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja penyelenggaraan kapal bernilai lebih RM1 juta.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam Isnin, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Katanya, suspek pertama yang juga ketua sebuah pusat servis bersama suspek kedua yang juga pegawai kanan penguat kuasa, dipercayai bersubahat bersama suspek ketiga, pemilik sebuah syarikat melakukan perbuatan itu pada tahun 2020.
Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini untuk permohonan reman dan direman selama enam hari untuk membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Noor Hidayah Mohd Noor.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
#SPRM #tuntutan palsu #selenggara kapal #penguat kuasa ditahan
;