Tuntutan palsu RM1.3 juta, pengarah urusan syarikat swasta direman
Shafik Ahmad
April 22, 2021 12:00 MYT
April 22, 2021 12:00 MYT
KUCHING: Seorang pengarah urusan syarikat swasta direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan tuntutan berjumlah RM1.3 juta.
Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek berusia 52 tahun di Mahkamah Kuching pada Khamis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Suspek akan direman sehingga 26 April ini selepas ditahan SPRM pada 8.55 malam pada Rabu.
Berdasarkan fakta kes, suspek dipercayai mengesahkan butiran palsu sebagai dokumen tulen dalam kerja-kerja pembinaan tebing sungai bagi projek bekalan air di Tanjung Manis yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi kontrak pada 2013.
Susulan aduan yang diterima SPRM, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 18 Akta SRPM 2009.
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Seksyen 18 Akta SRPM 2009
#Mahkamah Kuching
#siasatan kes rasuah
#Kuching