Tuntutan palsu program Penjana: Tiga usahawan termasuk calon Pejuang pada PRU15 mengaku tidak bersalah

Fareez Azman
Januari 26, 2023 18:38 MYT
Seorang usahawan yang juga calon parti Pejuang pada PRU15 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso bernilai RM378,000.
KUALA LUMPUR: Seorang usahawan yang juga calon parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM378,000.
Tertuduh, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, 55, yang juga pemilik syarikat PUPA International Sdn Bhd didakwa melakukan perbuatan itu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 pada 2 Mac 2021 dan 2 April tahun sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Perkeso Putrajaya pada tarikh sama.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu gaji sedangkan senarai pekerja yang dikemukakan tidak menerima upah itu.
Di mahkamah sama, pemilik syarikat Era Media Sdn Bhd, Lee Hong Rong, 23, turut berdepan 31 pertuduhan melakukan perbuatan sama bagi menuntut insentif dibawah program sama berjumlah RM1.9 juta.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 April dan 21 Jun 2021 di pejabat Perkeso Kuala Lumpur.
Mengikut pertuduhan, Hong Rong didakwa mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu tentang bantuan mobiliti dan gaji sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut tidak menerima gaji terbabit.
Dia, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kesemua pertuduhan itu.
Hakim Rozina Ayob membenarkan Mohd Ridzuan dan Hong Rong masing-masing diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Kedua-dua individu itu dituduh dibawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.
Mahkamah turut menetapkan 2 dan 3 Mac depan bagi kedua-dua sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, pemilik syarikat Minbot Sdn Bhd dan Fireshot Marketing Sdn Bhd, Raymond Sim, 35, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan sama mengemukakan dokumen palsu menuntut insentif dibawah program sama berjumlah RM153,200.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 3 Jun hingga 15 September 2021 di pejabat Perkeso Kuala Lumpur.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 18 akta yang sama, dia didakwa menyerahkan dokumen palsu mengandungi butiran nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dikemukakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan.
Hakim Suzana Hussin Raymond membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 serta syarat tambahan yang sama.
Mahkamah menetapkan 28 Februari depan bagi tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin dan Mohamad Mohd Aliff Shaharuzaman.
Manakala Mohd Ridzuan diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Hong Rong diwakili peguam Lim Chi Chau dan Raymond diwakili peguam Datuk Joshua Kevin.
#tuntutan palsu #program Penjana #calon Pejuang #PRU15
;