Tuntutan palsu: Penolong pengarah JKM mengaku tidak bersalah
Astro Awani
Januari 12, 2016 13:17 MYT
Januari 12, 2016 13:17 MYT
Seorang penolong pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dakwaan membuat tuntutan palsu pada 2013.
Tertuduh, Syed Mohd Abdul Ghani Syed Ali, 53 tahun, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu menjawat jawatan Pegawai JKM Daerah Mersing mengemukakan pesanan kerajaan yang bertarikh 24 Sept 2013 bernilai RM5,000 bagi membekal pakaian seragam untuk Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan JKM Mersing.
Tetapi pembekalan tersebut sebenarnya tidak dibuat.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di Pejabat JKM Daerah Mersing antara 8 pagi dan 11 pagi pada 8 Okt 2013.
Syed Mohd Abdul Ghani didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai tuntutan palsu, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan pegawai pendakwa SPRM, Norfazlin Hamdan, mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.
Hakim, Mohd Haldar Abdul Aziz menetapkan 25 Februari untuk sebutan semula kes.
Tertuduh diwakili oleh peguam M. Vinodharan.