Tuntutan palsu: Pengerusi NGO belia direman seminggu

Astro Awani
Januari 9, 2019 15:03 MYT
Suspek diiringi pegawai SPRM di mahkamah hari ini. - BERNAMA
Seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan belia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu sebanyak RM500,000.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim@Isa pada Rabu.
Suspek yang berusia 38 tahun itu dipercayai membuat tuntutan tersebut kepada Pejabat Daerah dan Tanah di sebuah daerah.
Tuntutan itu dikatakan untuk perbelanjaan bagi 32 program di sekitar sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perbuatan itu dilakukan sekitar Mei 2018.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, suspek ditahan di Pejabat SPRM Terengganu pada pukul 5.30 petang Selasa.
#Belia #Rasuah #SPRM #tuntutan palsu
;