Tuntutan palsu: Pegawai kanan dan bekas pegawai Maqis Kelantan direman SPRM

Mohd Adam Darwish Mohamed
Oktober 13, 2022 18:36 MYT
Difahamkan, kedua-dua mereka yang berusia 44 dan 55 tahun tersebut kini ditahan di pejabat SPRM. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang pegawai kanan dan bekas pegawai Jabatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu.
Menurut sumber, pegawai kanan terbabit dipercayai ditahan pada jam 8.45 malam tadi manakala bekas pegawai itu ditahan jam 7 malam kelmarin di pejabat SPRM negeri di Lundang.
Kedua-dua mereka dikenakan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana tuntutan palsu.
Difahamkan, kedua-dua mereka yang berusia 44 dan 55 tahun tersebut kini ditahan di pejabat SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
#maqis #tuntutan palsu #reman SPRM #Maqis Kelantan
;