Tuntutan palsu hampir RM1 juta: SPRM tahan pengarah syarikat
Astro Awani
Mac 6, 2024 17:37 MYT
Mac 6, 2024 17:37 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dengan tuntutan palsu kerja penyelenggaraan stor minyak, pemasangan paip dan kamera litar tertutup (CCTV) berjumlah hampir RM 1 juta.
Perintah reman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 9 Mac 2024 ke atas suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Puan Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an dipercayai ditahan kira-kira jam 7.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
"Suspek disyaki terlibat dalam tuntutan palsu yang dilakukan pada tahun 2021 membabitkan kerja penyelenggaraan stor minyak dan bilik penginapan di Kota Belud berjumlah lebih RM490,000.
"Suspek juga dipercayai telah membuat tuntutan palsu kerja penyelenggaraan stor minyak, pemasangan paip dan CCTV berjumlah lebih RM470,000 di Lahad Datu sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.