Tuntutan palsu: Dua ketua jabatan, pengarah syarikat ditahan SPRM Melaka
Shuhada Abdul Kadir
Februari 5, 2024 18:18 MYT
Februari 5, 2024 18:18 MYT
MELAKA TENGAH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan dua ketua jabatan serta seorang pengarah syarikat selepas disyaki membuat tuntutan palsu bagi pelaksanaan program anjuran jabatan mereka, tahun lalu.
Dua ketua jabatan masing-masing seorang wanita dan lelaki dipercayai menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran program jabatan pada tahun 2023 berjumlah kira-kira RM24,900.
Menurut sumber, suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pengarah syarikat terlibat untuk menggunakan invois yang mengandungi butir palsu.
“Dokumen itu berkaitan tuntutan pembekalan yang mana sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dilaksanakan bagi program yang dianjurkan pada tahun lepas.
“Salah seorang suspek turut disyaki membuat tuntutan palsu berkaitan perpindahan berjumlah lebih kurang RM6,000 kepada jabatannya,” kata sumber itu.
Kesemua suspek masing-masing berusia awal 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 2.30 petang ketika diminta hadir memberi keterangan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan suspek terbabit dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam dikedua-dua jabatan untuk memberi keterangan.
“Ketua jabatan sepatutnya berpegang kepada prinsip amanah dan akauntabiliti dalam membersihkan jabatan mereka dari sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa dan bukannya menjadi "duri dalam daging" di jabatan masing-masing.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok bagi permohonan reman,” tambahnya.