Tuntutan Kumpulan Sulu: Malaysia peroleh kemenangan penting terakhir - Azalina

Bernama
September 6, 2024 23:59 MYT
Azalina berkata keputusan Mahkamah Agung Belanda iaitu suatu yang muktamad dan sahih, menamatkan percubaan pihak menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Malaysia di Belanda. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperoleh kemenangan penting terakhir di Mahkamah Agung Belanda hari ini, yang membuat keputusan berpihak kepada Malaysia dan menolak rayuan difailkan oleh kumpulan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Menerusi akaun X beliau hari ini, Azalina berkata keputusan Mahkamah Agung Belanda iaitu suatu yang muktamad dan sahih, menamatkan percubaan pihak menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap Malaysia di Belanda.
"Keputusan Mahkamah Agung ini mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Hague pada 27 Jun 2023, yang mengekalkan cabaran Malaysia terhadap permohonan pihak menuntut di Belanda untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Award Akhir yang dibuat oleh Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Feb 2022," kata Azalina.

PRESS STATEMENT BY YB DATO SRI AZALINA OTHMAN SAID, MINISTER IN THE PRIME MINISTERS DEPARTMENT (LAW AND INSTITUTIONAL REFORM) ON THE LATEST UPDATE OF THE NETHERLANDS SUPREME COURT DECISION ON SULU CLAIMS. [ADMIN]#YBAOS#sulufraudvsmalaysiatruth#StampaKenaTampar pic.twitter.com/ifroHIHHsv

— Azalina Othman Said (@AzalinaOthmanS) September 6, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Award Akhir timbang tara yang dikatakan berjumlah US14.9 bilion (RM62.59 bilion), yang akan dikuatkuasakan di Belanda.
Sebelum ini, lapan warga Filipina memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion-bilion dolar daripada Malaysia berhubung isu Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.
Stampa pada 28 Feb 2022 telah membuat keputusan untuk memihak kepada mereka dan Award Akhir sebanyak US$14.9 bilion hasil daripada timbang tara palsu telah dikeluarkan secara haram oleh Stampa kepada lapan penuntut itu, walaupun pelantikannya sebagai penimbang tara sebelum ini dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.
Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan anugerah akhir US$14.9 bilion, kumpulan Sulu itu dilaporkan telah cuba merampas aset Petronas milik Malaysia di Luxembourg, aset di Belanda dan menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya).
Sementara itu, pada 17 Mei tahun ini Malaysia dimaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan Madrid yang menolak rayuan Stampa dan mengekalkan hukuman penjara enam bulan dan larangan satu tahun daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara.
Kerajaan Perpaduan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara agresifnya menentang dakwaan lapan individu itu.
Malaysia telah memperoleh kemenangan muktamad dalam pertikaian yang telah berlarutan sejak sekian lama, hasil keputusan yang berpihak kepada negara oleh Mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan Hague di Belanda, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis dan juga di Mahkamah Sepanyol.
-- BERNAMA
#Mahkamah Rayuan #Kerajaan Perpaduan #kumpulan Sulu #Petronas
;