Tuntutan hak Sabah dalam MA63 akan terus diperjuangkan - Hajiji

Eleanor Michelle Patrick
Mac 24, 2022 14:59 MYT
Menurut Hajiji (gambar kanan) cadangan pelantikan pesuruhjaya kehakiman di bawah Yang Dipertua Negeri Sabah juga sedang dalam perbincangan kerajaan negeri melalui Jabatan Peguam Besar negeri dengan Badan Kehakiman.
KOTA KINABALU: Tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan hak negeri Sabah akan terus diperjuangkan berteraskan semangat Keluarga Malaysia, tegas Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketika berucap pada sesi penggulungan Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan Hajiji berkata beliau dan kepimpinan negeri akan terus mempertahankan hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63.
Malah, menurutnya, cadangan pelantikan pesuruhjaya kehakiman di bawah Yang Dipertua Negeri Sabah juga sedang dalam perbincangan kerajaan negeri melalui Jabatan Peguam Besar negeri dengan Badan Kehakiman.
"Malah mengenai cadangan menukar gelaran Ketua Menteri Sabah kepada Premier pula kerajaan negeri belum bercadang untuk menukar gelaran tersebut," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.
Pada sesi penggulungan itu, Ketua Menteri sekali lagi menyatakan pendirian Sabah bahawa kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan Kesultanan Sulu ke atas negeri tersebut.
Katanya, rakyat Sabah telah membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk sebuah negara Malaysia berdaulat yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Mengenai aspek keselamatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI), Hajiji menafikan kenyataan ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew yang mendakwa jumlah warga Filipina di Sabah adalah satu juta.
"Satu juta orang (warga Filipina) adalah tidak tepat. Berdasarkan Laporan Awal Banci Penduduk dan Perumahan Sabah 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah keseluruhan penduduk di negeri ini adalah seramai 3,418,785 orang.
"Daripada jumlah tersebut, 810,443 atau 23.7% adalah bukan warganegara manakala warganegara Malaysia di Sabah ialah 2,608,324 orang," katanya memberi jaminan kerajaan negeri akan terus menangani isu berkaitan PATI.
#Hajiji Noor #Tuntutan MA63 #Isu Lambakan PATI #PATI di Sabah
;