Tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak relevan - Najib

Ridzal Abdullah
Mei 28, 2016 05:28 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kanan) melihat lintas hormat Helikopter EC725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Semporna, Sabah. - Foto BERNAMA
Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan ke atas negeri Sabah oleh mana-mana pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan sebarang tuntutan dianggap tidak relevan.
Najib mengulas kenyataan presiden baru Filipina, Rodrigo Duterte yang mahu meneruskan tuntutan ke atas Sabah.
“Itu tidak menjadi isu sebenarnya, sebab Sabah merdeka ini telah diputuskan pada tahun 1963 melalui Suruhanjaya Cobbolt dan diiktiraf oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dari segi undang-undang antarabangsa.
“Tiada sesiapa pun boleh persoalkan... oleh itu, saya anggap ini sebagai ‘non-issue’ dan saya hendak nyatakan bumi Sabah ini kita tetap pertahankan (sebagai) tanah merdeka dalam Malaysia,” kata Najib.
Beliau ditemui selepas upacara pecah tanah Pangkalan Operasi Hadapan Helikopter dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Semporna.
Jelas Najib, rakyat sabah telah menyatakan bahawa mereka akan kekal bersama dalam Malaysia di mana perkara ini turut dinyatakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Ama.
“Jangan ada sesiapa cuba melakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan Sabah dalam Malaysia," tegas beliau lagi.
Dalam pada itu, Najib juga berkata, kekuatan asset ketenteraan di Sabah bertujuan memastikan kedaulatan negeri itu sentiasa terpelihara.
Katanya, ia juga bagi mengelak insiden pencerobohan pada 2013 berulang.
#Filipina #Malaysia #Najib Razak #Rodrigo Duterte #Sabah #Suruhanjaya Cobbolt #tuntutan