Tuntutan berkaitan plat MADANI: 'Kalau nak saman, cubalah nasib' - Loke
Bernama
November 7, 2024 17:06 MYT
November 7, 2024 17:06 MYT
PUTRAJAYA: "Kalau dia nak saman, cubalah nasib," demikian reaksi Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai tuntutan ganti rugi RM1.3 juta oleh seorang ahli perniagaan berhubung dakwaan hak cipta plat MADANI.
Beliau menegaskan kuasa untuk mendaftarkan sebarang nombor pendaftaran kenderaan terletak di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jelas dalam akta itu kuasa tersebut terletak di bawah bidang kuasa Menteri Pengangkutan.
Oleh itu, beliau berkata sebarang kelulusan berkenaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) adalah melalui Menteri Pengangkutan.
"Tidak timbul soal mana-mana pihak boleh hak cipta intelek terhadap terhadap sebarang nombor pendaftaran istimewa itu.
"Lagipun, kita sudah semak dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang boleh didaftarkan sebagai hak cipta ialah kertas kerja, bukannya nombor plat," katanya kepada media selepas Majlis Cahaya Kasih MADANI dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini, hari ini.
Loke berkata MOT akan memberi maklum balas terhadap tuntutan tersebut secara sewajarnya melalui Jabatan Peguam Negara (AGC).
Selasa lepas, Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd Hasan Azhari Hashim mengemukakan surat tuntutan kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta berhubung dakwaan penyalahgunaan dan pelanggaran harta intelek bagi Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri 'Madani 1' sehingga 'Madani 9999.'
Pembidaan NPI Siri MADANI yang dibuka pada 19 hingga 23 Okt lepas berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM2.62 juta.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata sebanyak 3,722 kenderaan yang dipanggil balik melibatkan Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS keluaran 2024 adalah atas permintaan syarikat pengeluar dan bukannya arahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)..
Beliau menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) kementerian terkini menetapkan bahawa sebarang kenderaan yang dipanggil balik oleh syarikat pengeluar perlu dimaklumkan kepada JPJ dan arahan akan dikeluarkan memandangkan ia melibatkan semua pemilik kenderaan yang terjejas.
"Jadi, ia adalah atas permintaan syarikat pengeluar kerana mereka mendapati terdapat sedikit 'defect' (kerosakan) yang dikesan selepas menerima maklum balas daripada pelanggan," katanya.
-- BERNAMA