Tuntutan 20 royalti minyak bukan retorik - Darell Leiking

Ruzaini Zulkepli
Jun 9, 2018 18:26 MYT
Beliau percaya dengan rundingan (Mohd Shafie) bersama Perdana Menteri dan juga Kabinet Persekutuan
Jumlah 20 peratus royalti minyak yang dituntut kerajaan negeri bukan bersifat retorik sebaliknya harus dikotakan demi rakyat Sabah.
Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri sudah menyatakan pendirian yang mana kerajaan negeri tetap teguh meneruskan tuntutan seperti mana manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu percaya Mohd Shafie yang juga Presiden parti sedang berunding dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga kabinet dalam menjayakan tuntutan tersebut.
"Ketua Menteri kita telah memberikan jaminan kepada warga Sabah semua bahawa beliau tidak akan bertolak ansur berkenaan tuntutan royalti minyak kita iaitu 20 peratus sebagai tuntutan dari Sabah yang sudah lama diabaikan oleh kerajaan sebelum ini.
"Kita juga percaya dengan rundingan (Mohd Shafie) bersama Perdana Menteri dan juga Kabinet Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama Wira dan Wirawati Warisan Penampang di Restoran Sri Bongawan, Cyber City, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Shafie dalam kenyataannya di satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini menyatakan beliau tidak akan berganjak daripada menuntut 20 peratus royalti minyak seperti yang termaktub dalam manifesto Warisan pada PRU14.
Darell dalam pada itu menangkis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa tuntutan royalti minyak tersebut adalah retorik semata-mata dan menyifatkan tanggapan berkenaan adalah disebabkan 'mereka' gagal membentuk kerajaan pada hari ini.
"Yang cakap wayang itu adalah pihak yang kecewa, mereka kecewa kerana mereka tidak dapat menjadi kerajaan. Mereka juga kecewa kerana mereka tidak seberani macam Mohd Shafie," katanya.
#Darell Leiking #kerajaan #Ketua Menteri #Ketua Menteri Sabah #Mahathir Mohamad #Manifesto #Mohd Shafie Apdal #Penampang #Perdana Menteri #pilihan raya #PRU14 #retorik #royalti minyak #Timbalan Presiden Parti Warisan #tuntutan #Warisan
;