Tuntut kedaulatan Sabah: Malaysia serah nota diplomatik kepada Filipina - Laporan
Agensi
Julai 5, 2024 13:15 MYT
Julai 5, 2024 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah, lapor South China Morning Post (SCMP) hari ini.
Dalam nota diplomatik itu, kerajaan Malaysia berkata ia 'secara jelas' menolak pemfailan itu atas alasan pemanjangan sempadan pelantar benua yang dikemukakan Filipina dilakukan berdasarkan garis dasar Sabah.
Tindakan itu, katanya, jelas mengabaikan kedaulatan Malaysia yang tidak dapat dipertikaikan lagi ke atas Sabah.
Isu ini membawa impak besar bagi kedua-dua negara Asia Tenggara ini, termasuk implikasi ekonomi disebabkan oleh kekayaan sumber minyak dan gas di rantau tersebut.
Manila telah berusaha memperluaskan pelantar benuanya di wilayah Palawan Barat di Laut China Selatan.
Selain itu, Sabah secara geografinya adalah strategik untuk laluan maritim dan perairan wilayah.
SCMP melaporkan bahawa bantahan Malaysia itu dibuat sewaktu kunjungan hormat Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini ke atas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr di Manila.
Pertikaian melibatkan Sabah berlanjutan beberapa kali sebelum ini yang menyaksikan bukan hanya melibatkan penyerahan nota diplomatik, tetapi juga tindakan undang-undang dan pencerobohan bersenjata.
Pada 2023, Malaysia berjaya mengetepikan keputusan mahkamah timbang tara Paris berhubung berkait tuntutan waris Sultan Sulu dan berkemungkinan melihat pembatalan arahan bayaran pampasan kira-kira AS$15 bilion kepada kumpulan itu.
Mahkamah Rayuan Paris memutuskan Mahkamah Timbang Tara yang mengarahkan Malaysia membuat bayaran kepada kumpulan mendakwa waris Sultan Sulu itu tiada bidang kuasa dalam kes berkenaan.
Pertikaian tersebut berkait dengan tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah.