Tunku Azizah 'tukang masak' dari istana untuk rakyat
Bernama
Januari 31, 2019 13:49 MYT
Januari 31, 2019 13:49 MYT
Pahang merupakan antara negeri yang sering dilanda banjir pada musim tengkujuh, namun dalam keadaan yang kurang baik itu, rakyat yang berpindah di pusat pemindahan banjir di negeri ini sentiasa mendapat keistimewaan – masakan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Tunku Azizah yang hari ini bergelar Raja Permaisuri Agong merupakan seorang anak raja yang cukup dikenali dengan hobi suka memasak, malah sanggup menyinsing lengan baju semata-mata untuk ‘beraksi di dapur’ bagi memasak lauk-pauk bagi memastikan mangsa banjir mendapat makanan lazat dan mencukupi sepanjang berada di situ.
Nor Mastuza Abdul Aziz, 52, yang berpeluang membantu Tunku Azizah memasak semasa daerah Pekan dilanda musibah banjir pada 2014 dan 2015, menyifatkan baginda seorang tukang masak yang cekap dan mendapat pujian ramai.
“Ayam masak merah dan sardin merupakan menu yang sering jadi pilihan tuanku. Jika Tunku Azizah memasak, baginda tidak suka ikan tersebut dipotong kepada kepada saiz kecil, sebaliknya baginda lebih suka memasaknya dalam saiz yang asal.
“Baginda pernah bertitah, jika hendak menjamu orang, biarlah dia dapat makan sepuas hati dan kenyang,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Nor Mastuza yang berpengalaman membantu baginda memasak di pusat pemindahan Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mahmud Mat dan Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Pekan pada waktu itu turut menyifatkan Tunku Azizah sebagai seorang wanita yang sangat berkebolehan dalam bidang masakan.
"Baginda memang pantas memasak...jadi kami hanya tolong hulur bahan-bahan sahaja. Bahan masakan juga sudah siap dibersihkan, dipotong, diperap dan dibawa khas dengan menaiki helikopter atau trak tentera (bergantung pada laluan yang selamat).
"Baginda juga suka buat sendiri, jadi kami hanya membantu dan berbual-bual dengan baginda. Tuanku biasanya hanya mengambil masa yang singkat untuk memasak, seperti 20 minit untuk siapkan ayam masak merah... yang lama sikit bila melibatkan kerja-kerja menggoreng," katanya.
Bagi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) cawangan Sepekan Jaya, Ruziah Awang, 60, pengalaman membantu Tunku Azizah memasak merupakan kenangan manis yang sentiasa dikenang.
"Baginda amat peka dengan keperluan rakyat terutamanya ketika memerlukan. Baginda turun padang dan berusaha menyediakan menu yang enak sebagai usaha menggembirakan mereka yang ditimpa musibah. Kehilangan dan kesedihan mangsa akibat tragedi banjir sedikit sebanyak terubat dengan kehadiran baginda yang turut beramah mesra dengan mereka di pusat pemindahan," katanya.
Safiatul Maizan Md Taib, 53, dari Taman Mentiga di sini pula berkata Tunku Azizah tidak pernah kekok untuk bergaul dengan mangsa banjir dengan bertanya khabar setiap kali melawat pusat pemindahan banjir.
"Saya melihat sendiri baginda mendekati wanita dan kanak-kanak terutamanya bayi yang berada di pusat pemindahan banjir.
“Adakala baginda kelihatan sebak melihat anak-anak kecil terpaksa tidur di atas lantai bersama ibu mereka. Baginda datang bertanya khabar keadaan diri mereka malah memberitahu agar memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab supaya menjaga keperluan setiap keluarga yang ditimpa musibah," katanya.
Bagi Saerah Ali, 85, pembantu yang berkhidmat dengan Tunku Azizah sejak 1986 hingga kini, Tunku Azizah juga sentiasa mencari masa untuk memasak bukan hanya untuk santapan keluarga, tetapi juga adakalanya dalam kuantiti yang besar untuk menjamu tetamu istana.
Kecekapan Tunku Azizah di dapur bukan perkara baharu, malah baginda telah menghasilkan tiga buku masakan iaitu 'Air Tangan Tengku Puan Pahang' pada 2005 dan 'Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang' serta 'Manisan Tradisional Pahang' pada 2018.
"Tuanku memang selalu berada di dapur, memasak bersama tukang masak...yang paling penting tidak lokek ilmu. Kalau ada yang bertandang semasa baginda sedang memasak, baginda akan mengajak untuk sama ke dapur dan menurunkan resipi dari awal.
"Jika bertandang ke daerah-daerah di negeri Pahang dan melihat ada juadah baharu, baginda akan segera bertanya jika tukang masaknya boleh berkongsi resipi. Ada orang memasak tidak menggunakan sukatan tepat, jadi tuanku akan timbang sendiri bahan yang digunakan dan mencatitnya," kata Saerah.
Saerah berkata Tunku Azizah juga seorang yang teliti dan akan merancang setiap pergerakannya dari awal, termasuk semasa mencemar duli memasak untuk rakyat di pusat pemindahan banjir, yang dimulakan baginda sejak enam tahun lalu.
Katanya walaupun tahu bahan mentah disediakan, Tunku Azizah akan bertanya ‘jumlah mangsa banjir dan waktu makan yang dihadiri baginda' kerana akan membawa bahan sendiri dari istana bagi menyediakan juadah tambahan seperti bancuhan jemput-jemput jika masanya adalah minum petang.
Ini, menurut Saerah kerana tuanku amat mementingkan perihal makan minum tetamu dan rakyat, malah tetamu yang ‘bertandang’ ke istana tetap dijamu walaupun datang pada lewat malam.
-- BERNAMA
#banjir
#buku masakan
#mangsa banjir
#memasak
#Nor Mastuza Abdul Aziz
#Pahang
#pusat pemindahan
#Raja Permaisuri Agong
#Tengku Ampuan Pahang
#tukang masak
#Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah