'The Tunku Azizah Handmade Market Online' bantu usahawan kraf pasar produk

Astro Awani
Mac 2, 2021 15:42 MYT
Shereen Khoo berkata, meskipun pada awalnya dia sedikit sukar untuk mengadaptasi teknologi pada usia itu, namun dia cekal mempelajarinya bagi memulakan perniagaan demi dua anak istimewanya. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pada usia emas, seorang ibu tunggal terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi sesuap nasi kepada dua anaknya yang menghidapkan penyakit autisme.
Apakan daya, pada usia 65 tahun, Shereen Khoo hanya mampu melakukan kerja-kerja yang ringan seperti menjual biskut pada setiap kali musim perayaan dan kerja-kerja penyelenggaraan secara sambilan dengan pendapatan yang tidak menentu.
Segala keperitannya wanita itu berubah, apabila Shereen dipelawa menyertai The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM) dinaungi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Dengan kemahiran menjahit yang dimilikinya, Shereen pada awalnya menghasilkan lima produk buatan tangan iaitu tuala muka bersulam, pemegang atau penutup botol air tali bahu, pouch tisu sulaman, rantai kunci burung hantu dan pelitup muka
"Selepas menyertai TTAHM Online sejak Disember lalu, saya tidak menang tangan menerima tempahan sehingga 2,000 rantai kunci burung salam sebulan.
"Media sosial banyak membantu melariskan jualan produk saya. Jualan melonjak berbanding ketika dilakukan secara fizikal," katanya kepada Bernama di sini, pada Selasa.
TTAHM yang berada di bawah kendalian Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) ditubuhkan untuk membantu usahawan industri pembuatan kraf tangan tempatan memasarkan produk sendiri secara dalam talian.
Shereen merupakan antara 100 usahawan kraf yang berdaftar dengan TTAHM, terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), suri rumah, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan produk yang ditawarkan melebihi 700 unit.
Kata Shereen, meskipun pada awalnya dia sedikit sukar untuk mengadaptasi teknologi pada usia itu, namun wanita kelahiran Negeri Sembilan itu cekal mempelajari untuk menggunakan media sosial bagi memulakan perniagaan demi dua anak istimewanya, Xiang Wei, 24, dan Xiang Jian, 27.
Berkongsi pendapat sama, Nur Aishah Jamaludin, 35, yang berharap agar TTAHM Online menjadi platform khas buat usahawan kraf dalam memasarkan produk mereka secara lebih meluas sekali gus lebih dikenali di pasaran luar.
"Di luar sana terdapat pelbagai platform e-dagang yang lebih bersifat komersial, namun melalui TTAHM Online, ia hanya mengetengahkan produk buatan tangan yang lebih bersifat eksklusif iaitu hasil titik peluh daripada pengkarya," katanya yang telah memasarkan tiga produknya iaitu emsleeping pouch,/em bekas pelitup muka dan tote bag melalui jenama Athena Orange Cat.
Sementara itu, Pengerusi PSJKM Fully, Chye Goet Lee berkata, platform TTAHM Online adalah laluan kepada industri pembuatan kraf tangan untuk melangkah ke hadapan, berdaya saing dan berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.
#pelitup muka #media sosial #OKU #The Tunku Azizah Handmade Market #TTAHM #Raja Permaisuri Agong #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
;