Tunku Aziz dakwa DAP cuba pancing Tunku Zain

Bernama
Januari 26, 2013 07:11 MYT
Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa Pengerusi DAP negeri Loke Siew Fook pernah meminta beliau memujuk anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk menjadi calon parti itu dan bertanding di kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) pada pilihan raya umum.
Tunku Abdul Aziz berkata Loke meminta beliau mengadakan satu majlis dan menjemput Tunku Zain Al-Abidin ke majlis itu untuk menyatakan hasrat tersebut kepada baginda.
"Kerana DAP telah melihat Tunku ini seorang yang amat pintar, petah bercakap, jadi dia nak sasarlah Tunku dan suruh saya sebagai 'Tunku yang tua' barangkali boleh saya pujuk 'Tunku yang muda' ini.
"Kononnya untuk bagi Tunku jadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Tidakkah ini satu benda yang bodoh, tak masuk akal. Anak jadi Menteri Besar, ayah jadi Yang Dipertuan Besar," katanya dalam satu ceramah di sini malam ini.
Tunku Abdul Aziz berkata beliau bagaimanapun telah menyampaikan hasrat DAP itu kepada Tunku Zain Al-Abidin namun ditolak baginda.
Tunku Abdul Aziz berkata Loke, yang juga Anggota Parlimen Rasah, tidak berhenti setakat itu sahaja, sebaliknya terus meminta beliau memujuk Tunku Zain Al-Abidin untuk bertanding mewakili DAP, dan kali ini di kerusi Parlimen serta berjanji akan menawarkan jawatan menteri kabinet kepada baginda jika pembangkang menguasai Putrajaya.
Bagaimanapun, Tunku Abdul Aziz berkata beliau tidak menyampaikan hasrat Loke itu kepada Tunku Zain Al-Abidin kerana berpendapat ia sesuatu yang tidak masuk akal.
Katanya, perkara ini jelas menunjukkan DAP adalah parti yang sanggup melakukan apa sahaja bagi menguasai Putrajaya sehingga ke tahap 'memancing' anakanda pemerintah utama Negeri Sembilan untuk bertanding dalam pilihan raya mewakili parti itu.
Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mahu kalimah 'Allah' digunakan dalam Bible sebagai tidak sensitif dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah 'batu api'.
Menurutnya, agama dan politik tidak boleh dicampuradukkan kerana akan mengakibatkan bahaya yang besar, terutama dalam perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
#DAP #Loke Siew Fook #Tuanku Muhriz Tuanku Munawir #Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim #Tunku Zain Al-Abidin
;