Tunku Ampuan Najihah mangkat

Harits Asyraf Hasnan
September 8, 2023 11:50 MYT
Almarhumah Tunku Ampuan Najihah merupakan Raja Permaisuri Agong yang ke-10 dari tahun 1994 hingga 1999.
KUALA LUMPUR: Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin mangkat pada jam 6.53 pagi tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral di sini.
Almarhumah yang merupakan bekas Raja Permaisuri Agong yang ke-10 dari tahun 1994 hingga 1999, baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 1 Sept lalu.
Perkhabaran kemangkatan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim menerusi satu kenyataan sebentar tadi.
"Jenazah akan disemayamkan di Istana Besar Seri Menanti dan dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti pada hari ini, 8 Sept 2023 bersamaan dengan 22 Safar 1445H selepas waktu Asar.
"Tempoh perkabungan bagi kemangkatan Almarhumah Yang Maha Mulia Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan adalah selama satu hari iaitu pada hari ini, Jumaat, bersamaan dengan 8 Sept 2023," menurut kenyataan tersebut.
Mohd Zafir memaklumkan, semua bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang di seluruh Negeri Sembilan hari ini sepanjang tempoh perkabungan yang ditetapkan.
Selain itu, semua masjid dan surau di Negeri Sembilan digalakkan mengadakan majlis tahlil dan doa.
#Tunku Ampuan Negeri Sembilan #Tunku Ampuan Najihah #mangkat #Makam Diraja Seri Menanti
;