Tunku Aminah, Dennis bahagia, dakwaan rumah tangga berantakan tidak benar

Astro Awani
Januari 31, 2019 11:21 MYT
Tunku Aminah dan Dennis yang berkahwin pada 14 Ogos 2017 sangat bahagia dan dakwaan rumah tangga pasangan berkenaan berantakan adalah palsu. - Gambar fail
KELUARGA diraja Johor kecewa dan kesal terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin kononnya rumah tangga Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah berantakan.
Dakwaan yang disebarkan di laman sosial itu disifatkan keluarga diraja Johor sebagai serangan berniat jahat.
Dalam satu kenyataan kepada Pejabat Media Diraja Johor, Tunku Aminah menyuarakan rasa kurang senang terhadap khabar angin mengenai rumah tangganya.
Kekecewaan itu juga termasuk dakwaan mengenai ‘urusan perniagaan’ membabitkan produk penjagaan kulit dan pelangsingan.
"Saya dan suami bahagia, bertentangan dengan apa yang dikatakan menerusi khabar angin.
“Saya juga tidak menyokong mana-mana produk seperti yang ditulis oleh pihak tidak bertanggungjawab ini yang menggunakan nama saya untuk meraih perhatian,” kata Tunku Aminah dipetik sebagai berkata dalam laman Facebook The Royal Johor.
Halaman Facebook The Royal Johor turut memuat naik paparan skrin entri kenyataan media itu pada Rabu.
“Keluarga Diraja Johor berharap tindakan segera akan diambil oleh Facebook untuk menarik kandungan berniat jahat, sejajar dengan ikrar syarikat itu untuk memastikan berita palsu ditangani dengan tegas,” tambah kenyataan itu lagi.
Tunku Aminah yang juga puteri tunggal Sultan Johor mendirikan rumah tangga dengan Dennis warganegara Belanda pada 14 Ogos 2017.
#Dennis Muhammad Abdullah #keluarga diraja Johor #The Royal Johor #Tunku Aminah
;