"Tunku akan sedih melihat keadaan politik sekarang" - Ramon Navaratnam
Haider Yutim
Februari 8, 2014 18:36 MYT
Februari 8, 2014 18:36 MYT
Bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj tentunya akan sedih melihat keadaan politik Malaysia sekarang yang penuh dengan unsur politik kotor dan perkauman.
Demikian pandangan pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam mengenai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia itu.
"Apa yang boleh membuat Tunku sedih ialah melihat negara ini dipenuhi sifat keraguan dan pesimisme di kalangan majoriti rakyat Malaysia berbanding zamannya.
"Kedua, beliau akan sedih melihat berleluasanya politiking yang sia-sia, tidak produktif dan kotor serta perkauman, ketaksuban agama dan polarisasi dalam masyarakat kita hari ini," katanya dalam satu ucapan di forum anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) sempena ulang tahun ke-111 Tunku Abdul Rahman.
Menurut Navaratnam, polarisasi dan perpecahan akan memberikan masalah kepada Tunku kerana Tunku sememangnya seorang yang memperjuangkan keharmonian dan perpaduan.
Katanya, keadaan rakyat Malaysia yang terperangkap dengan belenggu golongan berpendapatan sederhana yang perpanjangan turut akan mengecewakan Tunku.
Bagaimanapun, Navaratnam tidak menolak kemungkinan yang Tunku juga akan gembira melihat pembangunan sosio-ekonomi di Malaysia serta berjaya menurunkan tahap kemiskinan.
"Tunku akan berbangga dengan tahap pembangunan sosio-ekonomi kita... dan kita harus menerima bahawa kita telah lakukannya dengan baik. Kemiskinan telah menurun dan pembangunan pun pesat dan meluas," katanya.
Selain itu, kata beliau Tunku juga akan bangga melihat kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan pemerintahan selama 56 tahun apatah lagi dengan majoriti dua pertiga dalam waktu yang lama.
Menurut Navaratnam lagi, Tunku turut akan berbangga melihat perkembangan pesat sebuah pertubuhan Islam yang pernah dibantu pertubuhannya dahulu iaitu Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Tunku juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung OIC.
Namun begitu, Navaratnam berkata jika negara tidak melaksanakan perubahan, segala yang diimpikan oleh Tunku pastinya tidak akan terjadi.
Kata Navaratnam, Tunku ketika dalam perkhidmatan awam tidak memberikan keutamaan khas kepada orang Melayu yang diambil bekerja, serta tidak terpengaruh kepada mana-mana campur tangan politik.
Untuk itu, beliau menggesa supaya segala dasar dan prinsip Tunku dijadikan contoh serta diikuti terutama dalam hal memberi kesamarataan kepada golongan miskin, semua kaum dan juga agama.
#111 tahun
#Bapa Kemerdekaan
#Bapa Malaysia
#Ramon Navaratnam
#tunku
#Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj