Tunku Abdul Aziz meninggal dunia
Nailah Huda
Februari 7, 2023 19:56 MYT
Februari 7, 2023 19:56 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim meninggal dunia pada usia 89 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.
Pemergiannya disahkan oleh anak saudaranya, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin menerusi hantaran di Instagram.
“Bapa saudara saya Tunku Abdul Aziz baru sahaja menghembus nafasnya yang terakhir.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat bersama orang-orang yang beriman,” kata Tengku Azman.
Allahyarham yang juga bekas Senator menyertai DAP pada tahun 2008 sebelum meninggalkan parti berkenaan pada 2012.
Beliau turut merupakan salah seorang pengasas Transparency International Malaysia dan dilantik sebagai Naib Presiden pertubuhan berkenaan.
Tunku Abdul Aziz yang lantang bersuara menentang gejala rasuah dan perkauman dilantik sebagai penasihat khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan dari Februari 2006 hingga Januari 2007.