Tunggu seawal 6 pagi untuk gunakan jambatan angkat

Bernama
Jun 2, 2019 13:13 MYT
Sebaik sahaja kon jalan dibuka tepat 7 pagi, pemandu kereta serta penunggang motosikal memasuki jambatan tersebut sambil membunyikan hon. - Bernama
Begitu teruja dan ingin melihat dengan lebih dekat jambatan angkat atau 'drawbridge' pertama di Asia Tenggara, orang ramai sanggup berkumpul seawal 6 pagi tadi, sebelum jambatan berkenaan dibuka pada 7 pagi.
Tinjauan Bernama mendapati persimpangan jalan memasuki jambatan angkat dari kedua-dua arah melibatkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dipenuhi kenderaan untuk melalui jambatan sepanjang 638 meter itu.
Sebaik sahaja kon jalan dibuka tepat 7 pagi, pemandu kereta serta penunggang motosikal memasuki jambatan tersebut sambil membunyikan hon menzahirkan rasa teruja mereka menjadi antara yang terawal 'merasmikan' jambatan berkenaan.
Terdapat juga pengunjung sekadar berdiri di tepi jalan merakam gambar dan video pembukaan jambatan itu.
Seorang penduduk tempatan, Fauziah Jusoh, 42, berkata beliau tiba di jambatan tersebut seawal 6 pagi kerana sudah lama berhasrat melihat jambatan angkat itu dengan lebih dekat.
"Apabila dapat tahu jambatan itu akan dibuka hari ini, saya sangat teruja. Tadi selepas sahur dan menunaikan solat Subuh saya terus bersiap ke sini," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Fauziah yang berasal dari Kuala Terengganu berkata sebagai anak tempatan beliau bangga menjadi antara terawal melalui jambatan ikonik baharu Terengganu itu.
Sementara itu seorang penduduk Seberang Takir, Muhammad Sollehin Yunus, 38, gembira kerana perjalanan untuk ke pusat bandar dari rumahnya dapat dipendekkan kepada kira-kira 10 minit, berbanding 15 hingga 20 minit sebelum ini.
"Kalau dahulu untuk ke Kuala Terengganu terpaksa melalui jalan yang jauh namun kini ada jalan pintas. Hanya melalui bulatan berdekatan Pantai Teluk Ketapang terus ke jambatan angkat ini dan sekejap sahaja sampai ke Kuala Terengganu," katanya.
Penjawat awam itu menunggu di persimpangan masuk ke jambatan angkat dari arah Kuala Nerus seawal 6.30 pagi.
Jambatan angkat yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu dibuka untuk percubaan hari ini hingga 17 Jun.
Sementara itu, Pengurus Kanan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Razlee Hassan berkata sebanyak 300 hingga 400 kenderaan dijangka melalui jambatan tersebut hari ini.
Namun, beliau berkata orang ramai tidak dibenarkan berjalan kaki di atas jambatan itu untuk mengambil gambar memandangkan laluan pejalan kaki di situ masih ditutup.
"Buat masa ini pejalan kaki kita tidak benarkan sebab pembukaan sementara ini hanyalah untuk percubaan trafik iaitu buka pada kenderaan sahaja sebab kita tidak mahu ada masalah trafik.
"Kena bersabar dahulu untuk bergambar... Insya-Allah selepas 17 Jun ini kita akan umumkan tarikh pembukaan secara rasmi pada masa itu ambillah peluang untuk bergambar," katanya.
Selain itu, beliau berkata bersempena dengan Aidilfitri ini, persekitaran jambatan angkat itu akan dipasang dengan lampu berwarna-warni pada waktu malam dari 4 hingga 7 Jun ini.
-- BERNAMA
#drawbridge #ikon baharu terengganu #jambatan angkat #Kuala Nerus #pengguna jalan raya #percubaan trafik #terengganu
;