Tunggu pengumuman SPAD, tetapan meter baru harus diteruskan?

Syafique Shuib
Mac 22, 2015 08:57 MYT
Pembekal meter teksi secara purata mengenakan bayaran RM100 untuk tetapan meter tambang baru dan ini tidak termasuk harga pemeriksaan Puspakom. -Gambar fail
Proses tetapan meter yang sudah bermula sejak pengumuman kenaikan kadar tambang teksi pada Khamis pastinya kini akan menjejaskan pelbagai pihak.
Ini berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata kabinet sudah meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya menangguhkan kenaikan tambang pengangkutan awam kerana tidak sesuai dilaksanakan ketika ini.
B.H. Chan dari syarikat pembekal meter teksi Demega Electronics & Engineering Sdn Bhd berkata situasi ini sangat mengelirukan.
Ini kerana syarikatnya telah mengemaskini 350 meter dan agen beliau telah mengemas kini 700 meter sehingga Jumaat.
“Pening kepala... sebab pada Khamis, SPAD cakap naik harga, hari ini pula Muhyiddin kata tidak jadi. Susah mahu percaya kerana semua ini berlaku dalam masa yang begitu singkat.
Ditanya jika syarikat beliau akan kembalikan wang kepada pemandu teksi oleh kerana meter yang dikemas kini harus kembali kepada harga asal, beliau beberapa kali berkata: “Saya sendiri tidak tahu lagi. Saya tidak tahu, saya akan merujuk kepada SPAD atau JPJ.”
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemandu Teksi Kepong Gor Bachan Singh turut “pening kepala” dan masih menanti arahan SPAD.
“Sekarang saya mahu tunggu hitam putih daripda pihak SPAD sama ada harga kadar tambang teksi naik atau tidak.
“Saya juga rasa ini semua masalah komunikasi. Kenapa pihak kabinet dan SPAD tidak berbincang dahulu sebelum membuat keputusan pada hari Khamis. Hari ini, Muhyiddin kata tangguh pula,” kata Gor Bachan.
Tambah beliau, teksi-teksi dibawah persatuannya sepatutnya memulakan proses tetapan meter tambang baru hari ini namun susulan kenyataan Muhyiddin tengah hari tadi, proses itu ditangguhkan.
“Sepatutnya teksi-teksi saya akan mengemas kini meter hari ini, tetapi dengan berita ini, kami sudah tangguhkan hasrat itu sehingga mendapat kepastian SPAD.
Pada Khamis, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkidmatan teksi akan berkuatkuasa dengan serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei ini.
Pada Jumaat, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah berkata, rata-rata pemandu teksi meluahkan rasa tidak gembira kerana terpaksa menanggung kos pembaikan meter itu namun mengakui harus melakukannya untuk caj baru berkenaan.
"Ia seharusnya tidak menjadi masalah besar kepada mereka walaupun ada yang merungut. Tambang harus diselaras dan semua faham dengan situasi ini.
"Bagaimanapun saya memahami rungutan sesetengah daripada mereka kerana pengumuman ini diadakan secara mengejut," katanya.
Tinajaun Astro AWANI mendapati bahawa sebuah syarikat pembekal meter iaitu Metretech Sdn Bhd mengenakan bayaran RM106 untuk mengemaskini meter.
Ditanya jika RM6 yang dicaj adalah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST), seorang wakil dari syarikat berkenaan yang ingin dikenali sebagai Mohd Hanif menyangkal dakwaan itu.
“Ini baru Mac, belum lagi April. Tambah lagi, perkhidmatan awam memang tidak dikenakan GST.
“RM6 itu adalah harga pelekat kadar harga, yang dijual pada RM2 setiap satu. Harga kesuluruhan RM106 itu termasuk tiga pelekat yang diberi kepada pemandu,” jelas Mohd Hanif.
Selain itu, syarikat itu mencadangkan agar kenaikan tambang itu diteruskan memandangkan sudah ramai pemandu teksi yang mengubahsuai meter mereka kepada kadar baru.
Pada Khamis, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkidmatan teksi akan berkuatkuasa dengan serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei ini.
Menurutnya, penetapan kadar baharu itu adalah berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup.
#Aslah Abdullah #GST #PERPEKLI #Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor #Puspakom #SPAD #Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat #Syed Hamid Albar
;