Tunggu laporan kimia, jangan terus hukum - Pemilik restoran 'nasi lambai'
Abd Razak Mohd Ali
Februari 21, 2019 07:59 MYT
Februari 21, 2019 07:59 MYT
Pemilik Restoran Sultana Nasi Kandar di sini, atau lebih dikenali sebagai 'nasi lambai', merayu orang ramai supaya tidak terburu-buru menghukum mereka susulan kontroversi yang tercetus baru-baru ini.
Pemiliknya, Abdul Malik Pakeer Mohamad meminta orang ramai agar tidak terus membuat andaian melulu dan menunggu sehingga keputusan ujian makmal mengenai kandungan menu makanan mereka diperolehi.
Katanya, perniagaan nasi kandar keluarganya itu telah beroperasi selama lebih 50 tahun tanpa sebarang masalah besar.
"Saya meminta orang ramai supaya jangan membuat andaian dan juga jangan memviralkan sesuatu yang tiada buktinya, dan juga sebelum pihak berkuasa membuktikan apakah info atau kandungan yang sebenar.
"Buat masa ini, pihak berkuasa telah mengambil sampel kari untuk mengkaji dan menyiasat, dan telah menghantarnya kepada makmal.
"Dikatakan, selepas beberapa minggu baru akan dapat keputusannya. Sehingga itu, kita tidak bolehlah menyalahkan mana-mana pihak," katanya kepada Astro AWANI.
Sebelum ini, terdapat laporan mendakwa beberapa pengunjung lemah dan khayal selepas menjamu selera di restoran itu, disyaki akibat terlebih makan kas-kas yang disyaki terkandung di dalam makanannya.
Abdul Malik berkata, isu yang ketika ini telah menjadi viral turut menjejaskan nama baik dan perniagaan restoran itu.
"Pada masa yang sama, waktu ini, isu viral ini menjejaskan nama baik kami dan menjejaskan perniagaan kami. Jadi, ini sesuatu yang sangat menyedihkan," tambahnya.
Pada Selasa sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama pegawai Jabatan Kesihatan memeriksa restoran itu selepas menerima aduan pelanggan yang makan di premis berkenaan.
Mereka turut mengambil beberapa jenis masakan seperti kuah makanan, ayam goreng, sayur dan nasi putih untuk dihantar ke Jabatan Kimia di Ipoh.
Bagaimanapun, tinjauan Astro AWANI di Restoran Sultana Nasi Kandar itu mendapati, apa yang berlaku tidak menghalang pelanggan tetap daripada terus menjamu selera di premis itu.
Mohamad Amir Shair Mohamad, seorang pengurus di sebuah syarikat swasta, berkata dia memang kerap mengunjungi kedai makan itu kerana gemar dengan kesedapan masakannya dan yakin dengan kebersihan dan keselamatan di situ.
"Saya yakin dengan masakan dia, sangat sedap dan sangat bersih. Setakat yang saya makan di sini, saya tak pernah jumpa perkara-perkara ataupun benda-benda yang menjejaskan kesihatan saya.
"Sebab itu juga, hari ini saya datang juga untuk makan makanan seperti biasa," katanya.
Sementara Setiausaha Persatuan Peniaga dan Usahawan Daerah Hilir Perak, Mohd Amin Abd Razak pula berkata, pihaknya yakin dengan perniagaan restoran itu yang telah diusahakan sejak turun temurun.
"Saya rasa perkara ini tidak wajar diviralkan. Biarlah kerajaan, pihak berkuasa, buat siasatan. Setelah sahih, barulah kita buat andaian.
"Sebab, perkara yang diviralkan adalah sesuatu yang tidak jelas dan tidak benar. Tunggulah sehingga ia selesai. Saya minta kepada mereka yang memviralkan isu ini, tolong jangan terus viralkan," katanya yang merupakan salah seorang penggemar nasi lambai.
#kandungan makanan
#kas kas
#khayal
#laporan kimia
#menu
#nasi kandar
#nasi lambai
#pihak berkuasa
#restoran
#sampel kari
#Sultana Nasi Kandar
#Teluk Intan
#ujian makmal