Tunggu keputusan MRI, semoga Arshad dapat segera ke Singapura - Antashah
Wan Syamsul Amly
Ogos 17, 2014 09:39 MYT
Ogos 17, 2014 09:39 MYT
Bayi yang mengidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah Antashah (16 bulan) dimasukkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) pada Ahad untuk mengetahui keadaan terkini bengkak yg timbul di tulang pinggungnya sebelum hari raya Aidifitri tempoh hari.
Menurut bapanya, Antashah Mohd Nor, jika melihat dengan mata kasar, bengkak Arshad sudah mengecil dan sudah tidak menjerit kesakitan lagi jika disentuh.
"Sebelum ini Arshad demam 38 sehingga 41 celcius hampir setiap hari...Alhamdulillah, sejak discharged sebelum raya tempoh hari, Arshad masih belum demam.
"Sebelum ini juga Arshad tidak mampu berdiri namun sekarang dia boleh berdiri dengan bantuan orang.
"Mungkin jangkitan kuman yang menghasilkan nanah atau darah beku tersebut semakin pulih... tetapi ini perlu disahkan dgn pemeriksaan MRI," katanya ketika menghubungi Astro AWANI disini.
Arshad memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk membiayai kos rawatan pemindahan organ yang akan dilakukan di Hospital Universiti Singapura (HUS).
Walau sedar pembedahan itu memerlukan kos besar, Antashah terus berusaha untuk mencari dana dengan pelbagai cara selain menyatakan sanggup untuk memberikan sebahagian hatinya demi melihat melihat anak keduanya itu kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.
Antashah sedar risiko pembedahan itu selain berdoa, berharap dan berusaha dana pembedahan itu mencukupi sebelum segala-galanya 'terlambat'.
Menurutnya, jumlah setengah juta ringgit itu hanya kos pembedahan sahaja tidak termasuk dengan lain-lain rawatan susulan yang perlu dilakukan sebelum dan selepas pembedahan dilaksanakan.
"Dana masih belum cukup dan perlu diteruskan. Saya berharap orang ramai tidak akan berhenti menyumbang sekiranya telah menjejah RM 500,000 kerana itu hanya untuk menampung kos pembedahan pemindahan hati sahaja.
"Itu tidak termasuk kos tinggal di hospital... ubatan 'liver anti rejection'..susu rumusan khas bagi pesakit selepas pemindahan hati yang sangat mahal, perjalanan dan kos-kos lain yang boleh menelan belanja sehingga RM 300,000 hingga RM 500,000 bergantung kepada keadaan Arshad," ujarnya.
Jelas Antashah, rentetan Arshad muntah darah sebelum ini, bius yang digunakan untuk menidurkan Arshad dikhuatiri akan melemahkan lagi hatinya.
"Namun pakar memaklumkan bahawa Arshad tiada pilihan dan perlu menjalani juga pemeriksaan MRI untuk mengetahui status terkini keadaan tulang belakangnya
"Arshad perlu berpuasa sekurang-kurangnya enam jam untuk proses MRI tersebut. Semoga keputusan MRI akan menunjukkan keputusan yang positif dan hati Arshad dapat sekali lagi menahan kesan bius tersebut," katanya.
Tambahnya, Arshad akan dipindahkan dari wad biasa ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) utk penjagaan rapi.
"Kami sangat risau sekiranya hati Arshad tidak dapat menahan bius kerana melihat keadaan dia yang semakin hari semakin lemah dan kejadian muntah darah baru-baru ini sangat merisaukan," ujarnya.
"Bagaimanapun, doktor pakar menasihatkan kami perlu menghadapi apa saja kemungkinan kerana keadaan hati hati Arshad yang semakin merosot," jelasnya.
Kata Antashah mengakhiri perbualan, dia dan isterinya pasrah selain bertawakal kepada Allah semoga umur anaknya panjang dan dapat menjalani pemindahan hati seterusnya sihat kembali seperti kanak-kanak lain.
Antashah sebelum ini mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan satu ruangan khas di Facebook (FB) yang diberi nama ‘Donate and Save Arshad Imanshah’ yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi pembedahan pemindahan hati berkenaan.
Ia turut dikongsi orang ramai di beberapa laman sosial lain seperti di Instagram dan Twitter.