'Tunggu juga dia balik untuk berbuka bersama, tapi tak kunjung tiba..'

Astro Awani
April 5, 2022 10:30 MYT
Empat juruteknik sebuah syarikat swasta maut apabila van dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Setiu ke Kuala Terengganu, terlibat dalam kemalangan petang semalam. - Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Lazimnya, dia akan pulang ke rumah untuk berbuka puasa, tetapi semalam, sehingga jam 7 petang, bayangnya masih tidak kelihatan.
Demikian luah seorang bapa, Jusoh Abd Rahman, 78 tahun, mengenang tragedi yang menimpa Muhammad Saufi, anak kelima daripada lapan beradik.
Muhammad Saufi terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, berhampiran Kampung Lingai, petang semalam.
Jusoh berkata, meskipun curiga apabila anak itu tidak kunjung tiba di rumahnya di Kampung Losong Haji Mat Shafie, di sini, namun dia cuba menenangkan hati tuanya untuk berbuka puasa.
Warga emas itu berkata, ketika menjamah hidangan, mereka sekeluarga dikejutkan dengan panggilan telefon mengatakan anaknya kemalangan.
Katanya, pada mulanya dia menyangkakan anaknya hanya terlibat dalam kemalangan kecil, namun khabar duka yang diterimanya pada tanggal 2 Ramadan itu.
"Biasanya dia berbuka puasa di rumah. Petang ini, saya tertunggu-tunggu, dia tak balik. Alih-alih, kami dengar dia di hospital, terlibat kemalangan.
"Saya pergi ke hospital, di Bahagian Kemalangan, cari nama dia tak jumpa. Kemudian, saya pergi ke bilik mayat, dapat tahu dia meninggal," kata Jusoh ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
BACA: Empat juruteknik maut dalam nahas empat kenderaan
Sementara itu, Che Rokiah Che Long, ibu seorang lagi mangsa kemalangan Mohd Shahlan, berkata biasanya van dinaiki anaknya akan melalui kawasan rumah mereka di Kampung Losong.
Namun, sehingga senja, van berkenaan tidak kelihatan, membuatkan hatinya resah sebelum dikejutkan dengan insiden yang menimpa anak dan rakan-rakannya itu.
"Selalunya dia balik awal dari kerja. Tadi saya terasa juga, kenapa van lewat dan dia tak balik lagi," katanya menceritakan detik menerima berita yang menghibakan itu.
Kemalangan | Empat maut nahas empat kenderaan
Semalam, kira-kira jam 6.22 petang, empat sabahat maut selepas van yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekpress.
Selain Muhammad Saufi dan Mohd Shahlan, mangsa lain ialah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya dan seorang lagi yang belum dikenal pasti, yang juga pemandu van itu.
#kemalangan maut #empat sahabat maut #empat juruteknik maut #kemalangan empat kenderaan
;