Tunggu ibu pulang hospital sambut Aidilfitri, 4 beradik pilu terima berita kematian
Adie Sufian Zulkefli
Mei 14, 2021 23:29 MYT
Mei 14, 2021 23:29 MYT
SUNGAI PETANI: Harapan empat beradik menyambut kepulangan ibu dari hospital untuk sambutan Aidilfitri tidak kesampaian apabila wanita itu meninggal dunia awal pagi Jumaat akibat pendarahan dalam kepala.
Kini Nur Alyaa Nadrah Qaisara Ab Salam, 8; Abdul Raqiz, 5; Abdul Wafiy, 4; dan Irfan Arshad, 2, menjadi anak yatim sekelip mata.
Menurut nenek mereka, Rokiah Bahari, 68, anaknya Siti Khodijah Ab Manaf, 32, meninggal dunia selepas 26 hari dirawat ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, selepas pengsan di rumah.
Jelasnya, sejak dimasukkan ke hospital anaknya tidak sedarkan diri, namun semua cucunya masih berharap ibu mereka sembuh dan pulang beraya di rumah.
Rokiah berkata, sebelum dimasukkan ke hospital, pada awal Ramadan lalu Allahyarham pernah mengadu sakit kepala namun menyangka ia sakit biasa.
"Dia beritahu sakit kepala tapi tak tahu kenapa. Mak cik kata mungkin bengkak angin. Mungkin sakit sebab itu, manalah kita tahu masa itu sakitnya serius," katanya ketika ditemui rumah mereka di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Nur Alyaa Nadrah Qaisara, tidak dapat menahan tangisan sebaik mengetahui ibunya telah meninggal dunia.
Katanya, dia sering bertanya perkembangan ibunya daripada ibu saudaranya dan diberitahu ibunya akan sembuh dan pulang ke rumah.
"Tak sangka ibu balik dalam keadaan kaku tidak bernyawa," katanya.
Sementara itu, kakak ipar Allahyarham, Hafizah Ibrahim, 41, berkata, Allahyarham sebelum ini tinggal di rumah ibu mentuanya dan dalam proses bercerai dengan suaminya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah, berkata polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian wanita itu.
Mangsa dilaporkan pernah cedera pada bahagian kepaa kerana ditumbuk dan ditampar seorang individu yang rapat dengannya dalam kejadian di Bandar Puteri Jaya di sini, pada September tahu lalu.
#4 beradik jadi anak yatim
#ibu meninggal dunia
#tunggu ibu pulang
#Hospital
#pilu di aidilfitri
#Sungai Petani