Tunggang motosikal aksi 'Superman' dan 'wheelie', dua remaja dipenjara, didenda

Bernama
Julai 19, 2016 17:49 MYT
Aktiviti dan aksi berbahaya melibatkan penunggang motosikal sentiasa dipantau pihak berkuasa. - Gambar fail
Dua remaja masing-masing dipenjara sehari dan tiga hari serta didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala 'Superman' dan 'wheelie' bulan lepas.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 atau sebulan penjara terhadap juruteknik, Saifurrohim Lobak, 18, manakala hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara dikenakan terhadap penjaga stor, Muhammad Aiman Shoberin, 19.
Saifurrohim didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sambil melakukan aksi mengangkat roda hadapan motosikal yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Raja Laut di sini di antara 12.30 tengah malam dan 12.35 tengah malam pada 8 Jun lepas.
Muhammad Aiman pula didakwa menunggang motosikalnya dengan melulu dan berbahaya sambil melakukan aksi ala 'Superman' di Lebuh Raya DUKE antara 4.15 pagi dan 4.19 pagi pada 5 Jun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, serta lesen percubaan dibatalkan dan hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Terdahulu, Saifurrohim yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf setelah menjalani tahanan reman selama 41 hari.
Sementara itu, peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani yang mewakili Muhammad Aiman memohon hukuman berbentuk bon jaminan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Hashimah Hashim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua mereka ditahan polis semasa operasi dan rondaan samseng jalan raya di kedua-dua jalan itu.
#aksi berbahaya #aksi wheelie #hukuman denda #mahkamah #rempit
;